Satu sumber melaporkan bahawa pengurus kepada Haqiem Rusli disahkan positif Covid-19 setelah mengalami simptom beberapa hari selepas menghadiri acara majlis pelancaran produk wangian pada 8hb Januari lalu.

Menurut sumber itu lagi, pengurus tersebut merupakan orang yang sering membawa Haqiem menghadiri majlis-majlis sama ada nyanyian, program TV dan sebagainya.

"Dia ada simptom selepas beberapa hari menghadiri majlis tersebut dan telah melakukan saringan. Hari ini dia didapati positif.

"Jadi kepada sesiapa yang ada simptom atau kontak rapat dengan pengurus dan Haqiem Rusli, diminta buat saringan dengan segera," kata sumber tersebut.

Sumber tersebut turut memberitahu bahawa Haqiem Rusli telah menjalani saringan Covid-19 pada hari ini.

Gempak cuba menghubungi Haqiem dan pengurusnya tetapi tidak mendapat sebarang jawapan.