Pelakon baharu yang muncul dalam drama bersiri popular Tetuan Ang & Rahimin, Kamelia Mustaffa terkejut apabila wajahnya dikatakan mirip vlogger masakan Cik Nom.

Kata Kamelia, 24, dia mengharapkan pujian itu setanding dengan skil memasak yang dipunyai oleh Cik Nom.

"Saya berterima kasih atas pujian dan wajah saya yang sama macam Cik Nom. Moga-moga satu hari nanti skil memasak saya boleh jadi sehebat Cik Nom," komennya ringkas kepada Gempak.



Selain daripada wajah lembut yang berperwatakan tegas sebagai peguam bernama Karina dalam Tetuan Ang & Rahimin, skil lakonan Kamelia turut dipuji penonton.

"Saya memegang peranan sebagai peguam senior yang sudah bekerja selama tujuh tahun dalam firma Tetuan Ang & Rahimin. Karina seorang wanita yang sofistikated, tegas dan bijak. Dia jugalah idola kepada Budi (Daiyan Trisha).

"Alhamdulillah saya bersyukur atas pujian penonton. Apa yang mereka komen itu apa yang mereka nampak. Itu yang saya cuba usahakan untuk melakonkan watak Karina dengan baik.

"Saya dapat berlakon sebagai peguam, saya dan ibu saya selalu berbahas dan dia selalu cakap saya patut belajar menjadi peguam. Jadi, inilah diri saya yang lain," katanya yang gementar digandingkan dengan barisan pelakon berpengalaman dalam drama rantaian ini.

Tetuan Ang & Rahimin mengisahkan sebuah firma guaman berhadapan dengan masalah kewangan apabila Karina membuat keputusan untuk meninggalkan firma tersebut dan membawa klien mereka bersamanya.

Peguam muda dan baru, Budi, berusaha untuk membantu peguam Ang & Rahimin supaya firma mereka dapat terus beroperasi. Suasana menjadi huru-hara apabila seorang ketua samseng mengupah mereka untuk melindungi operasi haramnya.

Drama 20 episod itu turut dibintangi pelakon lain seperti Ben Amir,Anita Baharom, Ellyas Abdullah, Shahril Sarjen, Iman Corrine Adrienne, Samsul Ahmad dan ramai lagi.

Diarahkan oleh Wan Hasliza Wan Zainuddin dan Wan Alauddin, Tetuan Ang & Rahimin telah mula bersiaran pada 14 Februari, setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 malam di saluran Astro Ria dan boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO.