Aktres popular Hollywood, Angelina Jolie mendedahkan rahsia menarik tentang anak-anaknya.

Memetik laporan Celebrity Insider, bintang filem Maleficent itu mengatakan, anak-anaknya sangat mementingkan privasi sehingga tidak membenarkan dia menyentuh telefon pintar mereka.

Semasa ditemu bual oleh Time Magazine untuk program Kid of the Year baru-baru ini, Angelina diberi pendedahan tentang satu aplikasi baru bernama Kindly yang direka khas untuk mencegah kes buli siber dalam kalangan remaja.

Aplikasi tersebut dicipta oleh Gitanjali Rao, seorang gadis remaja berusia 15 tahun.

Menurut Angelina, anak-anaknya akan memuat turun sendiri Kindly dalam telefon pintar mereka tanpa dia melihat atau mengawalnya.

"Anak-anak saya akan cakap, jangan sentuh telefon saya, saya akan buat (muat turun aplikasi itu) sendiri," kata Angelina.

Mendengar kata-kata Angelina, Gitanjali menegaskan bahawa aplikasi ciptaannya itu tidak mengganggu privasi remaja dan bukan bertujuan untuk mengawal mereka.

Difahamkan, Angelina sangat kagum dengan ciptaan aplikasi oleh remaja berusia 15 tahun itu dan menyedari kepentingan menerokai bidang sains dan teknologi di kalangan wanita.

Terdahulu, Angelina pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor Brad Pitt.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga anak kandung dan turut mengambil tiga orang anak angkat.

Namun, pasangan ini membuat keputusan untuk bercerai pada tahun 2016.

Sumber : Celebrity Insider
Kredit Foto : Vanity Fair