Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Penuh Nostalgia & Emosi, Konsert Siti Nordiana Beri Kenangan Terindah Buat Peminat

Asyikin Mayudin
13/05/2024 12:55 MYT
Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 tahun yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur sememangnya penuh nostalgia buat peminat penyanyi Siti Nordiana yang sudah lama menyokongnya.

Menyanyikan 21 Buah Lagu

Siti Nordiana menyanyikan 21 buah lagu pada malam Sabtu lalu sudah cukup memberikan kenangan terindah buat peminatnya, Siti Nordiana FC (SNFC).

Konsert itu juga mendapat sentuhan pengarah muzik, Johan Shamsudin dan pemuzik Eddie Slam, Ujang Exists, Wan Gigi, Kabung, Rizal, Paang, Yuaz (backing vokal) serta Eja (backing vokal).

Pada konsert itu, Siti Nordiana atau mesra disapa sebagai Nana membuka pentas dengan lagu Amaran sehinggalah ke lagu terakhir yang dinantikan peminat iaitu Paling Comel.

Segmen Duet Achik Spin

Antara yang menarik ketika segmen duet Nana bersama Allahyarham Achik Spin yang sebelum ini menjadi gandingan hebat satu ketika dahulu dan ditunggu-tunggu peminat.

Bagi mengembalikan nostalgia lagu Memori Berkasih yang dilancarkan pada 2001, Nana memilih untuk berduet dengan rakaman asal lagu itu sendiri tanpa menjemput sebarang penyanyi undangan.

Manakala, lagu Resipi Berkasih dan Gurauan Berkasih, Nana mengajak peminat yang hadir untuk menjadi penyanyi jemputan serta rakan duetnya dalam segmen penghargaan buat arwah.

Ucapan Terima Kasih

Pada konsert itu, Nana tanpa henti merakamkan ucapan terima kasih kepada peminat, rakan media, pemuzik serta semua tetamu yang hadir pada konsert sulungnya itu.

"Sepanjang karier saya banyak memori pahit yang saya lalui, dan konsert ini akan terus berada dalam lipatan memori berkasih saya.

"Alhamdulillah akhirnya tercapai juga cita-cita saya nak buat konsert selepas 25 tahun dalam industri. Konsert ini tak lain tak bukan adalah untuk anda semua. Yang hadir malam ini terima kasih.

“Terima kasih datang dari jauh dan terima kasih terima saya seadanya. Terima kasih terima segala kekurangan saya dan ada masa jatuh bangun saya, insya Allah saya terus berkarya kerana sokongan anda semua," katanya.

Peminat Menari Bersama

Bukan itu sahaja, peminat mula beraksi dengan turut menari bersama ketika segmen Zapin menerusi lagu seperti Benang Emas, Zapin Pak Ngah Balik, Bakawali dan Joget Pilihan Jiwa.

Dilihat, rakan artis seperti Datuk Syafinaz Selamat dan Nubhan turut menikmati konsert tersebut.

BERITA TRENDING: Siti Nordiana Pertama Kali Beraya Tanpa Kehadiran Bapa - “Saya Tak Pernah Lalui Ramadan & Raya Tanpa Ayah”

BERITA TRENDING: “Saya Nak Kahwin Tapi…” - Tular Sarung Baju Pengantin, Siti Nordiana Mohon Maaf Jika Ada Yang Salah Faham

#Konsert pertama Nana #Konsert Siti Nordiana #Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun #Peminat Siti Nordiana #Siti Nordiana FC