Viral

Penurunan Harga Telur: Peniaga Lega, Bantu Kurangkan Kos Operasi

gempak
Gempak
17/06/2024
15:00 MYT
Sponsor Banner
Penurunan Harga Telur: Peniaga Lega, Bantu Kurangkan Kos Operasi
Penurunan harga runcit telur ayam gred A, B, dan C sebanyak 3 sen sebiji berkuat kuasa pada Isnin memberi kelegaan kepada golongan peniaga terutamanya yang melakukan perniagaan kecil-kecilan selain turut disambut baik pengguna di seluruh negara.
Rata-rata peniaga makanan menyifatkan harga baharu telur dapat membantu mengurangkan kos perniagaan mereka memandangkan telur banyak digunakan dalam pelbagai masakan selain menjadi bahan utama pembuatan kuih dan pastri.

BERITA TRENDING: Harga Runcit Telur Gred A, B, C Diturunkan 3 Sen

Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Bumiputera Pasar Siti Khadijah di Kelantan, Ahmad Nazri Che Omar berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada peniaga khususnya penjual makanan meraih sedikit keuntungan, memandangkan masih ada yang menjual kuih pada harga lama, walaupun berlaku kenaikan harga telur sebelum ini.
"Penurunan harga bekalan ini memberi peniaga terlibat peluang mendapat keuntungan lebih dan dapat mengimbangi harga bahan mentah lain yang digunakan untuk berniaga," katanya kepada Bernama pada Isnin.
Di Negeri Sembilan, peniaga biskut dan kek Nur Anisa Hanis Ramli, 42, berkata, walaupun ada yang melihat penurunan harga itu hanya sedikit, namun kesannya amat dirasai oleh mereka yang mengambil tempahan produk menggunakan telur sebagai bahan utama.
"Sebagai contoh, saya yang menjadikan pekerjaan itu sebagai mata pencarian memerlukan lebih 60 biji telur setiap dua minggu... jadi penurunan harga sebanyak 3 sen sebiji ini memang membantu mengurangkan kos saya," katanya.

BERITA TRENDING: Raisa Pernah Kerja Kedai Runcit, Gaji Pertama Buat Beli Telur & Minyak Masak

Sementara itu, di Kedah, peniaga makanan Ashraf Zaidi, 33, berkata, penurunan harga itu dapat mengurangkan kos perniagaannya dan turut memberi manfaat kepada pelanggan memandangkan harga makanan berasaskan telur dapat diturunkan sedikit selepas ini.
Di Selangor, pembuat kek dan pastri Intan Baizura Zainal, 39, berkata, langkah itu dapat mengurangkan tekanan kewangan kepada pengusaha bakeri kerana kebanyakan barangan membuat kuih dan kek ketika ini semakin meningkat.
"Keputusan menurunkan harga telur tepat pada masa kerana walaupun mahu untung, kami tetap perlu berikan harga berpatutan kepada pelanggan. Ini mungkin permulaan kepada usaha kerajaan menurunkan harga barangan keperluan lain, selaras dengan hasrat mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat secara berperingkat," katanya.

BERITA TRENDING: “Kalau Takat Kena Baling Telur Tu Dah Biasa Ya…” - Tomok

Senada ialah peniaga kek kecil-kecilan dari Alor Gajah, Melaka, Nur Syakirah Ahmad Nazri, 26, yang juga berharap kerajaan akan terus memberi 'khabar gembira' melibatkan barangan lain pada masa akan datang yang secara tidak langsung membantu golongan sepertinya memperoleh pendapatan lebih baik.
Di Terengganu, pengusaha kantin Ahmad Khairi Samad, 52, berkata, ia akan mengurangkan beban kos operasinya yang secara purata memerlukan kira-kira 100 biji telur gred B sehari kerana selain masakan sedia dimasak, kantinnya turut menyediakan masakan panas.
Sementara itu, di Pulau Pinang, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata penurunan harga runcit telur akan membantu mengurangkan masalah kewangan kepada golongan berpendapatan rendah khususnya yang membeli dalam kuantiti banyak untuk tempoh seminggu.
"Langkah ini juga akan membantu peniaga dan penjual makanan kerana mereka boleh menurunkan kos dan CAP berharap peniaga yang banyak menggunakan telur tidak akan menaikkan harga makanan mereka selepas ini," katanya.
Di Perak, Ahli Gerakan Pengguna Negeri Perak Khairul Anwar El Syazalli Musa berkata penurunan harga itu memanfaatkan rakyat kerana pembeli lazimnya membeli telur dalam kuantiti lebih daripada sebiji, selain pembungkusannya biasanya adalah sebanyak 10 biji.
Sementara itu, di Pahang, ibu tunggal Mariam Abdul Ghani, 48, menyifatkan langkah itu membantu mereka yang kurang berkemampuan kerana telur merupakan sumber protein yang lebih murah untuk dijadikan sebagai keperluan harian keluarga.
Senada ialah suri rumah Rizalina Mad Saad, 46, dari Arau, Perlis yang menyifatkan langkah itu sebagai peka terhadap situasi rakyat terutamanya golongan B40 memandangkan telur lazimnya menjadi keperluan asas di dapur setiap rumah.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji menjadikan harganya masing-masing turun kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuat kuasa hari ini.

BERITA TRENDING: "Jual Telur Mata Harga RM4.50?" - Netizen Terkejut Harga Makanan Peniaga Bazar Ramadan!

Sumber: Bernama melalui Sinar Harian
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live