Berita

Harga Runcit Telur Gred A, B, C Diturunkan 3 Sen

gempak
Awani
17/06/2024
08:21 MYT
Sponsor Banner
Harga Runcit Telur Gred A, B, C Diturunkan 3 Sen
Kerajaan memutuskan harga runcit bagi telur gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, penurunan itu menyaksikan harga runcit bagi telur ayam gred A, B dan C di pasaran masing-masing 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuat kuasa hari ini.
"Penampungan subsidi keperluan makanan rakyat sebanyak 10 sen bagi sebiji telur ayam ini melibatkan perbelanjaan RM100 juta, manakala pada tahun 2023 peruntukan subsidi telur ayam adalah sebanyak RM927 juta.
"Manakala harga runcit bagi telur di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan juga akan diselaraskan mengikut Bahagian dan Zon yang diwartakan," kata Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

BERITA TRENDING: Rakyat Dibebani Kenaikan Harga Barang Ketika Sambutan Aidiladha - Rosol

BERITA TRENDING: Harga Diesel RM3.35 Seliter Bermula Isnin

Selain itu, Anwar berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) telah menjalankan Ops Tiris sejak 1 Mac 2023 bertujuan membanteras penyelewengan minyak diesel bersubsidi tatkala ia memanfaatkan pihak yang tidak layak.
"Sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 6,441,118 liter minyak diesel dianggarkan berjumlah RM14,208,824.00 telah dirampas.
"Justeru, atas hasil dan perkembangan yang baik dari ops tersebut, maka Ops Tiris 3.0 dijalankan dengan skop yang diperluas mencakup barang-barang kawalan lain iaitu gula putih bertapis (kasar dan halus), minyak masak bungkusan polibeg 1KG, petrol RON95 dan gas petroleum cecair (LPG).
"Sehingga 14 Jun 2024, sejumlah RM12,956,089.96 nilai barang kawalan telah dirampas dengan diesel menjadi barangan kawalan yang tertinggi yang diseludup dan diseleweng," ujarnya.

BERITA TRENDING: BUDI MADANI: Lebih 30,000 Pemohon Terima Bantuan Tunai RM200 Isnin Ini

BERITA TRENDING: PM Umum Kerajaan Laksana Penyasaran Subsidi Diesel Di Semenanjung Sekitar RM4 Bilion

Subsidi tidak dihapuskan

Anwar menegaskan, Kerajaan Madani kekal komited menangani penyeludupan diesel sambil berusaha mengimbanginya dengan perihal bekalan dan kos sara hidup rakyat.
"Subsidi tidak dihapuskan, tetapi apa yang dilakukan adalah memastikan pengurusan subsidi yang lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat yang selayaknya.
"Malah, kerajaan masih perlu menanggung sekitar RM7 bilion untuk subsidi berkaitan diesel di Semenanjung Malaysia.
"Tujuan utama dalam dasar penyasaran subsidi diesel ini adalah memastikan pembaziran subsidi tidak lagi diteruskan sambil memastikan penjimatan mesti dipulangkan kepada rakyat terbanyak," katanya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor yang memberi dampak terbesar kepada rakyat.
"Kerajaan masih mengekalkan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol pada harga RM6.90 (1kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg) sejak Kerajaan mengambil alih tampuk kepimpinan meski harga minyak sawit mentah (CPO) dunia meningkat melebihi harga ambang RM3,890 tan metrik.
"Sebagai contoh dengan harga CPO pada bulan Mac RM4,215 tan metrik dan April RM4,256 tan metrik, harga minyak masak sawit tulen 5kg boleh meningkat sehingga RM33 - RM35.
"Ingin saya tegaskan, masalah atau isu terkait kos kehidupan rakyat akan terus ditangani kerajaan secara lebih proaktif dan berkesan sambil berusaha sebaiknya dalam memampan dampak yang buruk ke atas kehidupan harian rakyat," katanya.
Sumber: Awani
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live