Penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan kembali mengubati kerinduan peminat menerusi penampilan khas single terbarunya berjudul Salah Tapi Baik.

Menyingkap semula perjalanan kariernya, lagu tersebut disifatkan sebagai penutup bagi tahun 2020 dalam kisah 10 tahun perjalanannya karier seninya.

Menurut Cakra, bermula dengan single pertama, kerjayanya dilihat berjalan dengan cemerlangnya, namun itu tidak bermaksud Cakra tidak pernah mengalami kisah duka, pahit dan jerih.

“Sebuah lagu yang menyentuh hati tentang pengalaman yang mendewasakan dan kematangan diri. Membawa maksud bahawa tidak semua perkara itu tidak baik, kerana rindu dan doa adalah perkara yang baik.

“Salah Tapi Baik juga merupakan sebuah lagu easy listening yang dicipta secara minimal, di mana tumpuan diberikan pada liriknya yang kuat dan mempunyai maksud yang mendalam.

“Melodinya dicipta dengan begitu halus sekali,” katanya.

Menurut Cakra lagi, dia juga cukup berbangga dan terharu diberi kepercayaan membawakan lagu ini.

“Sebuah lagu yang merupakan hadiah daripada tiga individu penting yang menjadi saksi perjalanan hidupnya dari hari pertama lagi, iaitu Pak William Chow, Putri Rahartana dan sahabat karibnya, Ade Govinda.

"Ini adalah karya paling istimewa sepanjang kerjaya saya, bukan hanya indah, lagu ini sangat dekat dengan perasaan dan hati saya,” katanya.

Lagu Salah Tapi Baik boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer bermula 18 Disember 2020.

Manakala video muzik lagu ‘Salah Tapi Baik’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube MyMusic Records.