HIBURAN
Percubaan Berlakon Filem Komedi Menjadi, Nadzmi Adhwa Mahu Jadi Pelakon Versatil
Pelakon Nadzmi Adhwa tidak menyangka percubaannya berlakon filem komedi berjaya membuatkan penonton ketawa.
Menurut Nadzmi, dia menyukai filem yang bergenre komedi kerana ia lebih santai dan kena dengan jiwa.
“Saya memang suka genre komedi dan dapat pula naskhah yang santai macam Busut Bonang, memang seronok.
“Kalau nak suruh buat-buat lawak, saya rasa tak syok tapi kalau skrip tu sendiri dah kelakar, kita sampaikan ikut kehendak pengarah, benda tu menjadi,” katanya kepada Gempak.
Nadzmi ditemui ketika majlis tayangan perdana filem Busut Bonang yang diadakan di E@Curve, Damansara pada Selasa.
Mengakui dirinya kurang popular berbanding hero-hero Malaysia lain, dia mahu orang ramai lebih mengenalinya menerusi bakat berbanding kontroversi.
“Saya nak orang nampak lebih pada apa yang saya mampu buat dalam industri sebab saya pun masih baru, ada banyak benda lagi yang perlu saya pelajari.
“Saya rasa menerusi filem komedi seram ni, lakonan saya akan peningkatan. Kalau boleh, saya nak teruskan sebab pada saya kalau lawak macam ni, bertepatan dengan minat saya.
“Saya pula memang jenis yang bising, kalau diberi watak komedi lagi, Insya-Allah saya boleh buat,” ujarnya lagi.
Terbaru, Nadzmi membintangi sebuah filem komedi seram filem berjudul Busut Bonang karya pengarah Khalid Nadzri.
Filem ini mengisahkan kejadian seram di kampung Bonang yang gempar dengan hantu arwah Cikgu Hassan (Ropie) yang berkeliaran.
Lutfy (Nadzmi Adhwa) bergabung bersama Joey (Along Eyzendy) daripada program ‘Merungkai Misteri’ datang ke kampung tersebut untuk menyelesaikan kekacauan yang berpunca daripada sebuah busut ‘bernyawa’.
Busut Bonang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 19 Disember ini.
Must-Watch Video