Penerbit penyelaras filem 'Mahathir: The Journey', Yusof Kelana menjelaskan situasi politik semasa tidak menjejaskan perjalanan filem terbabit.

Menurut Yusof yang mewakili Reliance Media Group selaku produksi yang menerbitkan 'Mahathir: The Journey', naskhah terbabit memberikan fokus kepada perjalanan karier Tun Dr. Mahathir Mohamad sekitar 2003 hingga 2018.

"Latar masa karya itu bermula daripada peletakan jawatan Tun M sebagai Perdana Menteri keempat pada 2003 sehingga beliau dilantik semula menjadi Perdana Menteri ketujuh pada 2018.

"Apa yang terjadi tidak menjejaskan perjalanan filem ini. Sejarah tetap sejarah. Perkara yang berlaku tak boleh dipadamkan dan kita juga tak dapat menjangka serta meramalkan apa yang akan terjadi di masa akan datang," kata Yusof.

Sudah menyelesaikan fasa penggambaran, filem 'Mahathir: The Journey' yang diarahkan oleh Profesor Dr Mohamad Hatta Azad Khan dan Cheong Kai Wan ini sedang memasuki proses suntingan.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Tapi, ada babak yang sepatutnya diadakan di Hiroshima, Jepun telah dibatalkan gara-gara situasi kesihatan terkini iaitu penularan wabak COVID-19.

"Boleh dikatakan semuanya mengikut perancangan kecuali penggambaran di Jepun. Kini, kami sedang berusaha untuk mendapatkan Tun M untuk babak akhir nanti," katanya lagi.

Naskhah yang dijangka akan menjengah pawagam pada Julai ini sempena ulang tahun kelahiran Tun M ini dibarisi oleh pelakon hebat seperti Azhar Amir (Tun M), Fauziah Latiff (Tun Dr Siti Hasmah), Afique Hussain (Mukhriz Mahathir), Ning Baizura (Marina Mahathir), Hilal Azman (Anwar Ibrahim), Dian P Ramlee (Dr Wan Azizah Wan Ismail), Lisdawati (Nurul Izzah), Dazrin Kamarudin (Syed Saddiq) dan ramai lagi.

Kredit foto: Miera Nadhirah