Penyerang kebangsaan, Safawi Rasid memohon maaf susulan tindakannya yang meraikan jaringan tunggal ketika menentang Thailand disifatkan agak keterlaluan.

Menerusi laman sosial Twitter, Safawi, 24, membuat permohonan maaf secara terbuka dan turut sama berterima kasih kepada semua penyokong yang sentiasa memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya.

Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu turut mengakui keraian berkenaan tidak menyenangkan sehingga ia mengundang kecaman wargamaya.

"Alhamdulillah syukur, terima kasih pada penyokong dan penonton yang selalu ada di belakang kami. Saya minta maaf atas 'celebration' yang tidak menyenangkan itu.

"Perkara ini tidak akan berulang lagi. Maaf sekali lagi," katanya menerusi satu ciapan di Twitternya, semalam.

Pada perlawanan menentang Thailand pada Rabu, penyerang kebangsaan itu menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti menewaskan Skuad Gajah Perang dengan 1-0 pada aksi terakhir pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai.

Sejurus selepas ledakan gol itu, Safawi meraikannya dengan seolah-olah menekan papan kekunci telefon bimbit di tangan dan meletakkan jari di mulut, sebelum menjerit kepuasan serta 'berlaga perut' dengan penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula.



Penyokong bagaimanapun melihat keraian itu agak keterlaluan terutama selepas menyifatkan persembahan Safawi yang agak hambar sepanjang baki kempen kelayakan di Dubai dengan hanya meledak satu gol menerusi sepakan penalti.

Malah, ada juga yang menganggap Safawi sengaja memerli penyokong yang sebelum ini melontarkan pelbagai kritikan di media sosial susulan prestasi yang ditunjukkan pemain itu.

Sepakan penalti Safawi itu juga memberikan tiga mata berharga buat skuad negara, sekali gus menamatkan pusingan kelayakan di tangga ketiga Kumpulan G.

Kredit foto: @Changsuek_TH