Sebuah bengkel membaiki kenderaan di Klang telah menarik perhatian ramai apabila bertindak tidak mengenakan sebarang bayaran terhadap sebuah ambulans yang mengalami kerosakan.

Menurut pemilik bengkel Kembara Auto Aircond & Car Services, Azrul Helmi dan Muhamad Faizul, usaha murni itu dilakukan oleh mekanik bengkel mereka yang mahu membantu dengan seikhlas hati.

“Ambulans tersebut datang ke bengkel apabila mendapati penghawa dingin di belakang tidak berfungsi. Mekanik beritahu ada beberapa masalah wiring.

“Anggaran kos untuk membaiki sekitar RM180 dan mekanik kami yang dikenali sebagai Muhammad Eskhandar Fareez tidak mengenakan sebarang bayaran.

“Bagi Eskhandar, perkhidmatan yang dijalankan oleh petugas barisan hadapan ini terlalu bernilai, tidak terbanding dengan sekadar memperbaiki kerosakan yang mereka alami,” ujar Azrul Helmi ketika dihubungi Gempak.

Tambah Azrul lagi, dia bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh mekaniknya.



“Di waktu kritikal macam ni kedai spare part aircon semua tutup, saya dah beritahu pada mekanik-mekanik kalau lebih banyak kita membantu mereka yang memerlukan, lebih banyak rezeki yang Allah akan beri pada kita.

“Bagi saya terma ikhlas tu subjektif untuk diterangkan. Bergantung atas banyak faktor dan situasi. Insya-Allah kami akan cuba lunaskan tanggungjawab kami disamping mencari rezeki,” ujarnya lagi.

Bengkel yang khusus membaiki penghawa dingin dan beberapa perkhidmatan lain ini baru sahaja dibuka sekitar Mei 2019.