Hiburan
Perlekeh Orang Melayu, Adik Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Mohon Maaf - "Kenyataan Yang Dikeluarkan Adalah…"
Adik kepada Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel iaitu Muzaffar Jakel tampil memohon maaf kepada umum selepas cara penulisan yang dimuat naik di Instagram Stories telah mengguris hati orang Melayu selain tidak sensitif.
Kata Muzaffar, kenyataan yang ditulis adalah daripada diri sendiri bukan mewakili syarikat Jakel kerana dia hanya pekerja semata-mata di situ.
"Salam semua maafkan saya. Saya hanya insan biasa. Saya sekali lagi memohon maaf di atas kekhilafan dan keterlanjuran yang dikatakan dalam Instagram Stories posting.
"Apa yang saya ingin nyatakan adalah kesalahan saya kerana saya secara tak sengaja menggunakan ayat yang tidak sepatutnya digunakan.
"Saya ingin jelaskan juga, saya hanya bekerja dengan syarikat abang saya. Saya bukan pemegang saham (shareholder) atau pemilik Jakel.
"Kenyataan yang dikeluarkan oleh saya adalah kenyataan peribadi dan bukanlah mewakili dari kenyataan syarikat Jakel.
"Sempena di bulan yang penuh barakah ini, saya dengan rendah diri memohon maaf sekali lagi atas keterlanjuraan saya dalam mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan ramai pelanggan Jakel dan netizen. Maaf zahir batin," tulisnya.
Dalam pada itu, Mohamed Faroz Mohamed Jakel akui berasa marah serta terkesan dengan tindakan tidak wajar oleh adiknya itu.
"Salam Ramadan, saya Mohamed Faroz Mohamed Jakel, ingin memberi pencerahan tentang posting yang tular pada 1 Mei baru-baru ini oleh adik saya, Muzaffar yang mana beliau telah membuat satu kenyataan yang menyinggung perasaan seluruh rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu kita.
"Saya juga terkesan dengan posting tersebut. Saya juga marah. Tapi perkara telah berlalu, segala kekhilafan ini berlaku mungkin salah faham. Tapi telah ditokok tambah oleh posting-posting yang tidak berapa tepat dan sebagainya.
"Saya dan keluarga langsung tidak mengenali individu itu jauh sekali menyokong kenyataannya. Isu ini saya kira hampir reda namun hantaran Nor Lizah di Facebooknya memanaskan kembali seperti mencurah minyak ke atas api yang hampir padam.
"Sangatlah tidak logik dan tidak masuk akal untuk menghina orang Melayu seumpama itu apabila saya sendiri sedar mereka begitu setia menyokong kami selama ini. Malah, mana mungkin kita akan menghina secara terbuka.
"Saya berharap masyarakat dapat memaafkan sebarang khilaf yang dilakukan seluruh ahli keluarga dan pekerja saya.
"Saya mungkin agak beremosi dalam hal ini tetapi saya benar-benar kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku," katanya menerusi sebuah rakaman video di Facebook semalam.
Terdahulu, Muzaffar didakwa memperlekeh orang Melayu selepas ramai yang mempertikaikan tindakan Jakel yang akan kembali beroperasi hari ini (4 Mei).
"Kesian aku dengan orang Melayu. SOP tu bahasa Melayu pun tak pandai baca," tulis Muzaffar.
Must-Watch Video