Sejak pengumuman mengenai pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sudah pasti ramai yang menunggu tarikh 1 April 2022.

Terkini, pencarum yang berhasrat mengeluarkan simpanan RM10,000 daripada KWSP di bawah kemudahan pengeluaran khas diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 16 Mac 2022 sudah boleh membuat permohonan melalui portal khas, bermula Jumaat ini.

Berikut merupakan highlights utama berkenaan dengan pengeluaran khas yang perlu anda tahu.

1. Pemohon boleh berbuat demikian melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my yang juga boleh diakses menerusi aplikasi mudah alih i-Akaun.

2. Adalah digalakkan untuk pencarum menyemak baki simpanan KWSP mereka melalui i-Akaun, aplikasi mudah alih i-Akaun atau kios KWSP sebelum membuat permohonan pengeluaran berkenaan.

3. Dalam pengumuman pada 16 Mac lalu, KWSP memaklumkan permohonan untuk pengeluaran itu akan dibuka kepada ahli bawah usia 55 tahun, bermula 1 April 2022 dan tempoh permohonan berakhir pada 30 April 2022, manakala pembayaran akan bermula pada 20 April 2022.

4.Jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan ialah RM10,000 dan minimum RM50.

5. Ahli perlu menggunakan sepenuhnya baki dalam Akaun 2 sebelum mengakses Akaun 1 mereka serta perlu mengekalkan jumlah minimum sebanyak RM100 dalam akaun.

6. Pembayaran akan dibuat dalam satu bayaran sahaja dan dikreditkan ke dalam akaun bank simpanan atau semasa ahli yang perlu memastikan akaun bank mereka aktif dan bawah nama ahli sendiri. Akaun bersama atau yang didaftarkan di bawah nama syarikat adalah tidak dibenarkan.

7. Pencarum boleh membuat semakan status permohonan bermula 9 April 2022 melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my.

8. Pengeluaran khas ini bertujuan membantu ahli yang masih terkesan dengan pandemik untuk memenuhi keperluan mendesak hari ini.

9. KWSP mengingatkan ahli supaya mempertimbangkan jaminan pendapatan mereka pada masa depan dan hanya mengeluarkan simpanan sekiranya benar-benar perlu.

10. Pencarum boleh berjumpa dengan pegawai khidmat nasihat ahli di mana-mana cawangan agensi berkenaan di seluruh negara untuk mendapatkan nasihat percuma mengenai simpanan mereka.

Untuk maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menggunakan kemudahan 'Ask ELYA' dalam laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, Facebook, Twitter dan Instagram KWSP atau hubungi talian Hotline Pengeluaran Khas di 03-8922 4848, bermula 1 April 2022.

Sumber: Facebook rasmi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) / Berita Harian