Seorang bekas model yang kini bekerja sebagai seorang streamer dari Korea Selatan diumumkan meninggal dunia hanya selepas beberapa hari membuat percubaan bunuh diri secara langsung menerusi platform media sosialnya.

Wanita dengan nama Im Ji Hye yang dikenali sebagai BJ Imvely itu dilaporkan meninggal dunia pada 18 Jun 2023 pada usia 37 tahun.

“Kami ingin mengumumkan Im Ji Hye telah meninggal dunia. Kami meminta maaf kerana tidak dapat menyampaikan khabar duka ini secara individu kerana situasi yang terjadi,” tulis kenyataan yang dikeluarkan seperti dilaporkan Koreaboo.

Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak mendedahkan punca kematian Imvely.

Ironi, Imvely melakukan percubaan bunuh diri pada 11 Jun lalu sebelum diselamatkan selepas para peminat yang menonton siaran langsungnya menghubungi pihak berkuasa.

Menerusi percubaan bunuh diri tersebut, wanita dua anak itu sempat menulis wasiat agar suaminya menjaga anak-anak mereka dengan baik.

Im Ji Hye pertama kali muncul dalam dunia hiburan Korea Selatan pada tahun 2006 dengan menjadi model majalah Maxim. Dia kemudian berkahwin pada tahun 2014 sebelum bercerai padsa 2018.

Sejak itu Ji Hye mengumumkan dirinya bertukar kerjaya sebagai seorang streamer.