Vokalis kumpulan Scan, Azan Rashid mendedahkan terdapat segelintir rakan artis yang tergamak menjahanamkan periuk nasi teman seperjuangan mereka.

PILIHAN PEMBACA: "Shiha Tintong, Adibah Pula Cute" - Tak Nak Pressure, Azan Scan Nak Enjoy Di Pentas Final GV8

Lebih 20 tahun menghambakan diri dalam dunia hiburan Azan meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir seniman muzik yang sanggup dibayar murah secara tidak langsung merosakkan industri.

“Suatu masa dahulu, kami (Scan) pernah ditawarkan cuma RM500 sahaja untuk menjayakan satu persembahan di luar kawasan selama sejam.

“Bukan setakat dibayar dengan harga yang terlalu rendah, malah penganjur juga tidak menyediakan sebarang kemudahan lain seperti penginapan ataupun pengangkutan.

“Apabila situasi seperti ini berlaku, di mana letaknya nilai artis senior yang kononnya peminat selama ini menggelarkan orang-orang lama sebagai legenda, otai dan sebagainya?” getusnya.

Lebih menyedihkan tambah Azan, jika tawaran tersebut telah ditolak oleh Scan, untungnya penganjur tidak akan terjejas langsung.

Ini kerana menurutnya, penganjur pasti akan mencari artis lain yang secara rela hati sanggup ‘merendahkan’ diri mereka menyambut tawaran tidak masuk akal itu.

“Bila dah jadi macam ini, bagaimana artis lain yang berusaha keras menjaga martabat kerjayanya hendak melawan permainan halus penganjur?” ajunya mengutarakan persoalan.

Pun begitu Azzan atau nama sebenarnya Noorhazan Rashid menambah, dia pasrah mendepani situasi yang ditimbulkan, namun berharap agar harga seni mereka tidak diperlekehkan oleh warga industri sendiri.

“Apa saya boleh buat hanyalah berdoa semoga mereka ini semua terbuka hati untuk menghargai artis lama seperti kami.

“Kami sedar kami siapa, tak pernah sekali pun mintak harga seperti bulan dan bintang.

“Kami tahu kami bukanlah Awie mahupun Amy Search,” katanya akur.

Azzan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu–lagu Guzzbuzz Productions yang diadakan di sebuah hotel di Ampang, baru-baru ini.

Melalui kerjasama dengan Guzzbuzz Productions itu, Azan merakamkan dua single berjudul Kasih dan Selamat Hari Ulang Tahun buat isteri tercintanya bersempena sambutan ulang tahun perkahwinan mereka.

Selain Azan, Guzzbuzz Productions turut memperkenalkan empat lagi penyanyi di bawah pengurusan mereka iaitu Akid Aly, General Ling, Z-Loco dan Ize Suliman.