Hiburan

Pernah Rasa Mahu Sucikan Hati, Shahir Rancang Menetap Di Tanah Suci - “Kadang-Kadang Sebagai Manusia…”

gempak
Ainun
10/10/2024
18:50 MYT
Sponsor Banner
Pernah Rasa Mahu Sucikan Hati, Shahir Rancang Menetap Di Tanah Suci - “Kadang-Kadang Sebagai Manusia…”
Penyanyi, Shahir berkongsi bahawa dia dan isteri pernah berhijrah ke Arab Saudi untuk merasai pengalaman hidup di sana.
Menurut Shahir atau nama sebenarnya, Ahmad Shahir Zawawi,36, dia pernah menetap di sana seketika namun disebabkan terdapat beberapa kekangan maka mereka terpaksa pulang kembali ke Malaysia.

“Sebenarnya, kami pernah cuba migrasi ke Arab Saudi dan kami sudah pindah dan mempunyai rumah sewa di sana cuma pada waktu itu ada beberapa faktor yang membuatkan saya terpaksa kembali ke Malaysia. Antaranya, ayah saya kurang sihat dan lain-lain.

“Saya berada di sana selama dua bulan tetapi ‘on off’, kemudian berulang-alik dari Kota Mekah ke Malaysia. Jika diberikan peluang sekali lagi untuk menetap di sana, saya tiada masalah,” katanya kepada Gempak.
Shahir berkata demikian ketika ditemui di majlis pelancaran single terbarunya Aksara yang diadakan di Ace Cafe, Kuala Lumpur pada Khamis.

Diberikan rezeki

Dalam pada itu, Shahir juga memaklumkan dia mempunyai seorang rakan yang menetap di sana dan banyak berkongsi pengalaman tinggal di Kota Mekah.
Disebabkan itu juga, Shahir menyimpan hasrat untuk berpindah ke Tanah Suci.
“Sebenarnya, saya mempunyai seorang sahabat yang sudah berpindah ke sana (Kota Mekah), tetapi bukan secara tetap.
“Apabila dia berkongsi tentang pengalamannya, saya terus bercita-cita untuk pergi ke sana, tetapi Allah S.W.T belum mengizinkan lagi.

“Melihat kawan saya sudah lama menetap di Kota Mekah, saya merasakan jika saya ingin ke sana, sekurang-kurangnya saya ada tempat untuk berpindah. “Oleh itu, ketika saya berada Kota Mekah, saya juga merancang beberapa perniagaan untuk menampung kos sara hidup di sana.

“Namun, itu semua hanyalah perancangan. Walaupun kini saya berada di Malaysia dan kawan saya masih di sana, jika ada rezeki Insya Allah, mungkin saya akan ke sana suatu hari nanti,” ujarnya.

Bersihkan hati

Tambah Shahir lagi, keinginannya untuk berpindah ke Kota Mekah adalah bertujuan untuk memantapkan lagi kerohanian pada dirinya.
“Sebenarnya, saya memang sengaja memilih untuk tinggal di sana dan saya juga memang berniat untuk pergi ke sana, tetapi Allah S.W.T masih belum mengizinkan saya untuk menjejakkan kaki di kota suci.
“Saya berpegang pada prinsip bahawa walaupun saya mempunyai banyak wang untuk menunaikan ibadah di rumah-Nya, jika Allah S.W.T tidak menjemput, saya tidak boleh berbuat apa-apa.

“Saya juga pernah diberikan tiket percuma untuk ke sana, tetapi terlalu sibuk sehingga terlupa menebusnya. Saya tidak dapat buat apa-apa. Itulah sebabnya saya pernah rasa ingin cuci hati saya sendiri. “Kadang-kadang, sebagai manusia, saya rasa kita terlalu bergantung pada pertolongan orang lain berbanding dengan Tuhan. Kalau buat kerja pun kita harapkan ‘kabel’ menolong kita.

“Meskipun, saya belum merancang apa-apa,, saya hanya ingin bergantung sepenuhnya kepada Allah S.W.T. Berdikari tanpa bergantung kepada manusia,” jelasnya.
Bagaimanapun, Shahir juga tidak menolak sekiranya diberikan rezeki untuk berhijrah ke Kota Mekah itu sekali lagi.
“Masih memasang hasrat untuk ke sana. InsyaAllah kalau ada rezeki saya untuk berada di sana” ulasnya.

BERITA TRENDING: “Sengaja Atau Tidak Sengaja, Suami Wajib Bayar Hutang Nafkah Tertunggak” - Ustaz Azhar Idrus

BERITA TRENDING: Pelancaran Lagu Bertahan Demi Cinta Tiada Kaitan Dengan Situasi Semasa Fazura & Fattah

BERITA TRENDING: Rosyam Nor Heret Individu Sebar Fitnah Kaitkan Namanya Dalam Isu Cerai Fattah Amin & Fazura Ke Mahkamah - “Korang Tunggu…”

BERITA TRENDING: 3 Pelajar UiTM Dungun Maut: 'Saya Sudah Tiada Anak Lelaki' - Bapa Mangsa

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024