Pernah Terima Anugerah Dalam Acara Kem Matematik Antarabangsa, Ini Trivia Menarik Tentang Leia Mayssa

Seorang pelajar dari Kolej MARA Banting, Leia Mayssa telah berjaya menerima tawaran untuk melanjutkan pengajiannya ke Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat.
Berita tersebut telah dikongsi menerusi hantaran di Facebook Hi-Edu MARA pada Rabu.
“Tahniah, Leia Mayssa!
“Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT) MARA mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Leia Mayssa Masyerin, pelajar Program International Baccalaureate (YTP-IB MARA) dari Kolej MARA Banting, atas kejayaan cemerlangnya dalam bidang akademik dan pertandingan antarabangsa,” tulis mereka.
Berikut merupakan fakta menarik mengenai Leia Mayssa:
Leia Mayssa pernah mencipta sejarah negara dimana dia menjadi satu-satunya wakil Malaysia dan Asia Tenggara yang terpilih menyertai Math Beyond Limits (MBL), sebuah kem Matematik Antarabangsa Berprestasi Tinggi di Poland pada tahun lalu.
Menurut Hi-Edu MARA, Leia pernah mewakili Malaysia dalam International Mathematical Olympiad (IMO) 2022-2024, yang berlangsung di Oslo, Norway (2022), Chiba, Jepun (2023), dan Bath, United Kingdom (2024).
Sepanjang penyertaannya, Leia berjaya merangkul 1 pingat gangsa dan 2 Honorary Mentions, membuktikan keunggulannya dalam bidang Matematik peringkat dunia. Kem tersebut telah menghimpunkan seramai 60 pelajar cemerlang dari 32 buah negara.
Disebabkan kecemerlangannya yang luar biasa, pihak MIT menawarkan tawaran kepada Leia Mayssa dalam bidang Sains Komputer bagi sesi kemasukan tahun 2025.
Untuk maklumat, MIT ini merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang terkemuka di AMerika Syarikat yang cukup terkenal dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan serta matematik.
Universiti ini juga telah lahirkan ramai individu yang ternama di persada dunia. Antaranya adalah Buzz Aldrin iaitu seorang jurutera Amerika dan bekas angkasawan yang terkenal sebagai individu kedua yang berjaya menjejakkan kaki di Bulan.
Bagaimanapun, pihak BPT dan Pusat PERMATA Pintar Negara turut menzahirkan perhargaan terhadap pencapaian cemerlang yang diraihnya dalam bidang akademik dan pertandingan antarabangsa.