Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Pernah Terlibat Bina Stadium, Ini Kisah 3 Pekerja Asing Yang Berpeluang Menonton Coldplay Secara Percuma Di Singapura

Izwan Isa
02/02/2024 03:55 MYT
Sekitar 10 tahun lalu, tiga pekerja asing ini membantu membina Stadium Nasional Singapura, yang telah banyak menyaksikan pelbagai persembahan memukau artis antarabangsa seperti BTS, Jay Chou dan Madonna.

Dan pada 27 Januari lalu, tiga warga asing ini kembali ke stadium berkenaan, bukan sebagai pekerja, tetapi sebagai penonton konsert jelajah kumpulan Coldplay yang berlangsung selama enam malam di republik itu.

BERITA TRENDING: Presiden Filipina Disifatkan Hina Rakyat, Guna Helikopter Kerajaan Elak Jalan Sesak Demi Tonton…

Ironi, ketiga-tiga mereka tidak pernah bercadang untuk menonton konsert berkenaan. Namun, peluang tersebut hadir menerusi pemberian tiket yang dilaksanakan oleh dapur jalanan tempatan, Krsna’s Free Meals.

Memetik portal Mothership, jurucakap daripada dapur tersebut memberitahu yang mereka telah menerima tiket konsert berkenaan daripada kolaborasi dengan Love Button, sebuah organisasi kebajikan global.

Kolaborasi itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Coldplay dan Love Button untuk bekerjasama dengan organisasi di setiap lokasi konsert jelajah dunia Music Of The Spheres bagi mencetuskan perubahan dalam komuniti tempatan.

Krsna's Free Meals ialah salah satu daripada empat badan amal yang dipilih menerusi inisiatif ini.

Menerima 10 keping tiket, jurucakap berkenaan menambah, mereka mahu berkongsi ganjaran itu dengan individu-individu yang mereka bantu, iaitu pekerja asing.

“Kami mahu memberi inspirasi kepada mereka, membantu mereka untuk memasang impian dan mengajar mereka bahawa ada kebaikan di dunia ini,” ujar jurucakap berkenaan.

BERITA TRENDING: Pemulangan Gelang Xylobands Konsert Coldplay Di Kuala Lumpur Catat Peratusan Yang Membanggakan!

Sungguhpun lapan keping tiket sepatutnya diberikan, namun, hanya tiga pemenang sahaja yang dapat hadir memandangkan pekerja-pekerja selebihnya mempunyai urusan lain dan ada juga yang gagal untuk dihubungi.

Dua tiket lagi digunakan oleh sukarelawan untuk menemani ketiga-tiga pekerja itu menyaksikan konsert Coldplay.

Sumber: Mothership


#Singapura #Coldplay #Pekerja asing
;