Bagi peminat yang hatinya tidak kental, penulis perlu ingatkan dari awal lagi agar berjaga-jaga dengan mainan emosi dan mental kerana francais kali ini berbeza daripada sebelumnya.

Tak cukup dengan aksi, Guardians of the Galaxy Vol 3 (GOTG3) mengehentam emosi penonton bertubi-tubi! Tidak sekali, tapi berkali-kali.

Tak mustahillah, penulis dapat dengar esakan penonton kiri dan kanan. Bukan tahan pedas, tapi tahan sedih!

Ya, pengarah GOTG3, James Gunn memberikan hadiah perpisahan cukup manis buat peminat karakter-karakter angkasa ini; Star-Lord, Gamora, Drax, Nebula, Mantis, Groot dan Rocket.



Filem kali ini berkisar kepada kumpulan pelindung galaksi ini yang berusaha untuk menyelamatkan rakan mereka, Rocket Raccoon!

Tunjang perjalanan utama filem ini berkisar tentang kehidupan asalnya Rocket yang menjadi bahan ujikaji oleh Dr Herbert Wyndham atau The High Evolutionary (watak penjahat yang menganggap dirinya sebenarnya adiwira untuk memberikan pilihan kepada kehidupan baharu).

Pedih, perit, derita, sengsara hidup Rocket digarap cemerlang. Tak berlebih, tapi sarat emosi.

2 jam 30 minit

Biarpun durasinya lebih panjang berbanding edisi MCU yang biasa, penonton tak jemu tapi lebih rasa puas!

Tahanlah sikit pundi kencing kalau tak nak terlepas momen-momen menarik sepanjang filem berjalan.

Spotlight Rocket Racoon

Setiap karakter mendapat screen time yang sama. Tiada yang tersisih sama ada watak baik dan jahat, semuanya setara dan seimbang pembahagiannya.

Biarpun edisi kali ini lebih memfokuskan cerita Rocket Raccoon, ia tidak mengenepikan peranan karakter lain yang turut berkembang.

Malah, James Gunn memperkenalkan watak Warlock untuk filem kali ini, baik atau jahat? Tengok sendiri!

Lagu on point!

Lagu-lagu yang dipilih untuk edisi ini juga tidak jemu. Permulaannya saja pun dah mainkan lagu hit Radiohead, Creep!

Manakala, ada pula lagu yang pernah diputarkan dalam edisi pertama, Come & Get Your Love - Redbone dimainkan semula untuk filem kali ini.

Karakter mati?

Betulkah akan ada karakter yang dimatikan dalam filem kali ini dan adakah benar ini merupakan francais terakhir untuk Guardians of the Galaxy?

Siapa pula 'legendary star-lord' yang kononnya bakal muncul nanti?

Jawapan itu anda kongsikan kepada penulis selepas menonton filem yang sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sekarang.

GOTG3 dibintangi oleh Chris Pratt, Zoe Saldana, Dave Bautista, Karen Gillan, Pom Klementieff, Vin Diesel, Bradley Cooper, Chukwudi Iwuji, Sylvester Stallone dan ramai lagi.