Pelakon dan usahawan, Hanis Zalikha mempertahankan tindakan suaminya, aktor Hairul Azreen yang berkongsi video berbentuk gurauan di media sosial baru-baru ini.

Menurut Hanis, sebagai seorang isteri, dia lebih memahami suaminya dan mengakui terhibur dengan video yang dikongsikan.

"Bagi saya, video itu hanya satu bentuk gurauan daripada suami.

"Siapa yang kenal Hairul, mesti tahu sikap dan perangai dia macam mana jika bergurau.

"Kadang-kadang, kita bergurau ada orang rasa tidak kelakar dan sebaliknya.

"Apapun, saya terima apa yang orang ingin kata dan mereka juga berhak untuk memberikan pendapat masing-masing," katanya kepada Gempak.

Hanis berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelantikan dirinya sebagai duta Happikiddo di Grand Hyatt Kuala Lumpur, pada Rabu.

BACA: “Kalau Diaorang Bagi Saya Duit Makan, Saya .....” - Ini Komen Hairul Azreen Mengenai Isu Video ‘Anak Ketiga’

Sebelum ini, sepotong video yang dikongsikan oleh Hairul di Instagram telah menerima kritikan orang ramai di media sosial selepas dia mengusik Hanis ingin mendapatkan anak ketiga.

Hanis dan Hairul telah berkahwin pada 5 Jun 2015 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Yusuf Iskandar.

Pasangan ini juga bakal menimang cahaya mata kedua pada bulan Mei ini.