Pelakon Zizan Razak menyatakan rasa kagum melihat fenomena selebriti siber Jepun, Hatsune Miku.

Zizan berkata teknologi hebat yang digunakan untuk ‘menghidupkan’ Hatsune Miku dalam bentuk hologram merupakan antara sebab yang menjadikannya begitu popular.

“Sebelum ini saya pernah ke Jepun dan di sana memang banyak benda-benda unik sebegini tapi tak tahulah pula sampai ada yang jadi fenomena seperti Hatsune Miku ini.

“Saya pun tak sangka Hatsune Miku dah ada dalam industri hiburan di sana hampir 10 tahun sehingga dia digelar ‘mutual idol’.

“Memang terkejut, bukan sahaja ada peminat dia Asia malah di U.S juga. Tak dapat bayang macam mana orang boleh minat sampai begitu sekali.

“Saya sungguh kagum degan teknologi yang digunakan oleh mereka terhadap Hatsune Miku,” katanya kepada Astro Gempak.

Dalam pada itu, Zizan juga turut menceritakan pengalamannya ketika menonton video Hatsune Miku buat kali pertama.

“Benda pertama yang terlintas sebaik sahaja tengok video persembahan Hatsune Miku saya akui rasa aneh.

“Tapi jangan salah sangka, saya rasa aneh sebab tak pernah terlintas langsung konsert hologram hebat macam ini.

“Dia layak jadi popular disebabkan teknologi yang digunakan sangat ‘power’, pihak Crypton Future Media, INC berjaya membuatkan kita rasa dia ini wujud dan bukan sekadar visual sahaja.

“Orang yang tidak minat atau tak kenal Hatsune Miku pun akan rasa nak tengok disebabkan kecanggihan teknologi yang digunakan,” jelas Zizan.

BACA: TAK SANGKA HATSUNE MIKU BAKAL MENYANYI LAGU SAYA, ITU MEMANG LUAR BIASA

Zizan Razak bakal membuat persembahan pembukaan bersama Hatsune Miku dan bintang Youtube, Chaleeda Gillbert.

Konsert Hatsune Miku Expo 2017 (#MikuExpoMY) dibawa khas oleh Astro dengan kerjasama Crypton Future Media, INC.

Hatsune Miku Expo 2017 akan berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil pada 16 Disember bermula jam 8.00 malam.

Tiket-tiket boleh didapati dengan harga RM169, RM269, RM339, dan RM439 (tidak termasuk GST).

Tiket sudah mula dijual sejak 8 Oktober lalu manakala untuk pembelian atas talian boleh didapati melalui www.myticket.asia.

Untuk maklumat lanjut dan berita terkini layari mikuexpo.com dan Miku Expo 2017 in Malaysia (facebook).

Foto: Instagram @zizanrazak869 / Google

Teks oleh: Mya Amri