Walaupun masih berada dalam fasa berbulan madu, pelakon Mira Filzah sempat meluangkan masa menyuntik semangat kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 pada Sabtu lalu.

Mira yang muncul selama 20 minit menerusi talian seminar Last Ultra 100%, sempat memberikan tips dan pesanan kepada calon SPM 2020.

Antara yang dikongsi pelakon utama Bidadari Kiriman Tuhan ini ialah meminta calon SPM mengelak untuk terus ketagih dengan dunia digital termasuk menggunakan telefon bimbit.

“Belajar untuk jarakkan diri dengan dunia digital. Memang sekarang kita sudah terbiasa memegang telefon bimbit melayari itu ini dan menggunakan pelbagai aplikasi berjam jam.

“Ambil masa untuk menikmati udara di luar contohnya bersenam dan berjoging. Pada masa sama jaga penjarakan fizikal. Atau paling mudah buat apa saja benda yang kita gemar.

“Bagi calon SPM yang beragama Islam, jangan tinggal solat. Begitu juga dengan bangsa lain untuk berdoa dengan Tuhan masing masing.

“Minta restu ibu bapa. Doa ibu bapa sangat mustajab. Jangan segan peluk mereka dengan kasih sayang untuk beberapa saat,” katanya.

Pemilik nama penuh Nur Amirah Filzah Badioezaman yang pernah bergelar pelajar cemerlang ketika SPM pada tahun 2010 juga percaya bahawa kejayaan pendidikan serta ilmu yang ditimba itu bersifat positif.

“Ilmu dan pendidikan ini sangat luas skop pemahamannya. Pendidikan bukan diukur dengan tahap kelulusan diperolehi.

“Ada sijil atau kelayakan ia satu bonus. Tapi realiti sebenar ialah ketika kita berdepan dunia sebenar iaitu alam pekerjaan. Dalam dunia ini, ada yang belajar tinggi dan sebaliknya. Namun kerjaya yang dipilih belum tentu jadi kayu pengukur tahap pendidikan dimiliki.

“Namun ada tahap pendidikan ini ia dapat membantu dan membentuk kita jadi manusia baik. Macam sebelum ini ada skeptikal dengan golongan artis yang tiada latar belakang pendidikan. Itu satu tanggapan salah. Kebanyakan artis pun ada latarbelakang pendidikan yang baik. Ia sangat subjektif,” katanya.

Dalam pada itu, Mira sempat meniup kata-kata semangat kepada calon SPM supaya semangat untuk belajar tidak kendur kerana pandemik Covid-19.

Pandemik Covid-19 menyebabkan Peperiksaan termasuk SPM dianjak ke tahun depan dan dijangka berlangsung pada 6 Januari 2021.

Peperiksaan percubaan SPM pula akan diadakan bulan depan (Oktober).

Mira merupakan ikon dan duta PTTI iaitu sebuah pusat peningkatan akademik pakar dalam membantu pelajar SPM.

PTTI baru-baru ini turut melancarkan program khas untuk calon pelajar SPM 2020 yang terkesan dengan pandemik COVID-19.