Diinspirasikan oleh rancangan-rancangan program realiti mencari cinta yang kian popular pada masa kini, sooka, aplikasi penstriman hiburan tempatan, bakal memperkenalkan siri Originals berformat program realiti mencari cinta melibatkan selebriti yang pertama di Malaysia, pada Disember ini.

Rancangan realiti tersebut akan dihasilkan atas kerjasama sooka bersama Astro dan bakal menampilkan seorang selebriti misteri popular, yang sering menjadi tumpuan ramai.

Menurut Ketua Rancangan Sooka, Emarina Mohd Kamal, program ini diharap dapat membuka peluang buat wanita lebih mengenali selebriti lelaki tersebut dengan lebih dalam lagi.

“Fenomena program realiti mencari cinta merupakan trend yang diminati oleh generasi milenial pada masa kini. Kami amat gembira kerana berpeluang untuk memperkenalkan siri Originals sooka yang berinspirasikan format rancangan realiti tersebut pada hujung tahun ini.

“Kami berharap program ini memberi peluang kepada peserta dan peminat untuk mengenali selebriti pujaan mereka dengan lebih dekat sebagai individu tersendiri, di luar profesion sebagai artis.

“Format program ini juga akan lebih mengetengahkan keserasian personaliti para peserta bersama selebriti tersebut, berlandaskan konteks yang bersesuaian dengan sensitiviti budaya tempatan,” jelasnya

Nama selebriti misteri yang dimaksudkan ini tidak asing lagi dalam industri perfileman Malaysia. Beliau bukan sahaja merupakan seorang pelakon bujang yang ‘macho’ tetapi juga seorang insan yang berpersonaliti menarik dan santai.

Semua golongan wanita bujang di Malaysia berusia antara 21 – 45 tahun di jemput untuk menyertai uji bakat program realiti tersebut, seperti berikut:


1. Hantarkan video berdurasi pendek 'Mengapa saya ingin berkenalan [selebriti pilihan anda]

2. Namakan 3 selebriti tempatan popular yang ingin anda kenali

3.Emelkan penyertaan anda berbentuk video atau Pautan di [email protected]

4. Sila nyatakan pada subjek e-mel: ‘Penyertaan: Saya ingin mengenali selebriti lelaki paling popular’

5. Tarikh Akhir akhir penyertaan : 23 Ogos 2022

Program realiti ini akan ditayangkan eksklusif di sooka pada akhir tahun ini.

Penonton boleh menonton dengan melanggan pelan langganan mudah alih sooka - pelan VIP Entertainment pada harga RM15.90/bulan, atau pelan VIP TV pada harga RM42.50 sebulan untuk pengalaman menonton konten tersebut di skrin TV.