Hiburan
Peserta Ceria Popstar Tunjuk Kebolehan Nyanyi Lagu Genre Bukan Pilihan
Peserta Ceria Popstar menonjolkan kebolehan untuk menyanyikan lagu dari genre bukan pilihan mereka di konsert kelima Ceria Popstar yang bakal bersiaran malam ini.
Walaupun menyanyikan lagu yang bukan ‘makanan’ mereka, cabaran ini diambil dengan positif oleh mereka dan pastinya bakat-bakat cilik ini sekali lagi menjanjikan persembahan meyakinkan!
Si kecil Jun yang cemerlang di konsert yang lalu buat pertama kalinya akan membawakan lagu berbahasa Inggeris, The Power of Love nyanyian asal Celine Dion.
Advertisement
Hazmil, antara peserta kegemaran penonton yang biasa menyanyikan lagu irama tradisional pula diberikan tugasan menyanyikan lagu Hafiz, Matahari. Aniq yang dikenali menerusi genre rock pula diberikan cabaran untuk menyanyikan lagu asli yang berjudul Lancang Kuning.
Konsert kali ini memberi sedikit kelainan dengan menampilkan Raja Azura selaku pengacara manakala pelakon popular Erra Fazira dan pelawal Shahrol Shiro diundang selaku juri jemputan bagi menilai persembahan setiap peserta yang bertanding di samping juri tetap, Awie.
Pengacara tersohor tanahair, Datuk Aznil Haji Nawawi bertindak selaku penaung dan ‘father-figure’ kepada program ini.
Juara Ceria Popstar 2016 bakal membawa pulang hadiah berbentuk wang tunai sebanyak RM 20,000.00 beserta trofi sumbangan Astro. Naib juara pula bakal memenangi wang tunai sebanyak RM 15,000.00 beserta trofi. Tempat ketiga bakal meraih wang tunai RM 10,000.00 dan juga trofi. Format penjurian konsert Ceria Popstar ini menggunakan format penilaian sepenuhnya daripada juri professional.
Siapakah yang akan menyerlah dalam konsert kali ini dan siapakah yang akan tersingkir? Sama-sama kita saksikan Konsert Kelima Ceria Popstar yang akan disiarkan malam ini (Jumaat), 29 April 2016, bermula jam 9.00 malam di tiga saluran iaitu Astro Ceria, Saluran 611 , Astro Maya HD, Saluran 135 dan Astro Prima, saluran 105.
Must-Watch Video