Usahwan berkontroversi, Datuk Seri Aliff Syukri memilih untuk berdiam diri terlebih dahulu daripada memberi kenyataan gara-gara insiden pelakon Yana Samsudin didakwa terpecahkan pasu hiasan berharga hampir RM400,000 miliknya itu.

Kata Aliff dia dan pihak Yana masih dalam proses perbincangan.

"Saya Dato' Seri Aliff Syukri Kamarulzaman memilih untuk berdiam diri terlebih dahulu daripada memberi kenyataan kepada pihak media.

"Saya faham rakan media amat prihatin terhadap isu video yang viral antara saya dan Yana Samsudin. Pihak saya dan dia masih lagi dalam proses perbincangan," maklumnya.

Aliff berkongsi perkara berkenaan di akaun Instagram (IG) miliknya.

Semalam, Aliff menerusi IGnya berkongsi potongan video satu pergaduhan yang menunjukkan suami Yana, Fadzil Zahari dan Aliff Syukri bergelut dan nyaris bertumbuk dan telah diperkatakan ramai.

Bagaimana pun, Aliff memberitahu dia bakal memberikan kenyataan penuh mengenai insiden tersebut pada petang esok.

"Kenyataan penuh akan saya berikan esok petang di instagram dan tiktok saya, @aliffsyukriterlajaklaris .

"Diharapkan agar semua rakan media dapat bersabar. Jika ada sebarang kekhilafan dekat mana-mana pihak , saya memohon maaf terlebih dahulu," ujarnya.

Dalam pada itu, rata-rata netizen menganggap perkara itu semua antara strategi mempromosikan program yang bakal disiarkan pada musim raya nanti, apatah lagi dalam klip video tersebut Yana didakwa kelihatan seperti menahan ketawa dan tidak realistik dalam lakonan.