Beberapa hari lalu pemindahan organ haiwan dari organ khinzir ke badan manusia telah berjaya dilakukan di Amerika Syarikat untuk tujuan kajian.

Menerusi prosedur Xenotransplantation baru-baru ini, ia bertujuan untuk mengkaji penerimaan badan manusia terhadap organ dari khinzir.

Hal itu mengundang pelbagai persoalan daripada kalangan netizen yang ragu-ragu akan hukum pemindahan organ khinzir kepada manusia sebagaimana umum maklum haiwan terbabit merupakan najis mughallazah dalam Islam.

Tampil menjawab pertanyaan terbabit, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, haram menggunakan najis untuk berubat jika ada bahan yang suci.

"Prinsip asas bagi pemindahan organ melibatkan manusia-haiwan adalah, haram menggunakan najis untuk berubat jika ada bahan yang suci.

"Bahan najis boleh digunakan jika ia adalah keperluan yang mendesak dan tidak ada bahan yang suci yang boleh digunakan.

"Para ulamak bersepakat tentang haramnya penggunaan najis sebagai bahan ubat namun berbeza pada keharusannya atas sebab darurat.

"Bagi mazhab Syafie, penggunaan tulang yang dikira najis, tidak dibenarkan kecuali pada keadaan yang amat mendesak dan tidak ada alternatif lain daripada tulang yang suci," ujarnya menerusi tulisannya di Maktabah al-Bakri pada Isnin.

Terdapat dua syarat seperti yang disampaikan menerusi Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar bagi pemindahan organ haiwan bersifat najis iaitu pesakit tersebut memerlukan pemindahan organ haiwan najis tersebut, dan disahkan oleh pakar perubatan akan keperluannya serta tidak ada alternatif organ yang suci.

"Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa pemindahan organ khinzir kepada manusia adalah dibolehkan dengan syarat ia adalah darurat yang disahkan oleh pakar perubatan dan tidak ada alternatif lain yang lebih sesuai.," tambahnya.

Xenotransplantation adalah pemindahan sel hidup, tisu, atau organ-organ haiwan yang berasal dari manusia atau pemindahan cecair atau sel badan manusia yang mempunyai hubungan dengan sel atau tisu bukan manusia langsung.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!