Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Pinjam Duit Anak Tetap Dikira Hutang, Wajib Dilangsaikan

Gempak
07/07/2024 13:55 MYT
Sejak kebelakangan ini, kita kerap melihat trend di TikTok yang memaparkan seorang bapa meminjam duit anak dengan janji untuk memulangkan semula.

Dalam hal ini menurut pandangan Islam, wajibkah bapa memulangkan semula duit anak yang dipinjamnya?

Menurut Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Ustaz Mohd Shamsul Hakim Abd Samad, secara asasnya, agama suci kita menetapkan harta adalah hak individu yang perlu dihormati sama ia milik ayah atau anak.

Pinjam

Pendek kata, jika seorang ayah meminjam daripada seorang anak, ia tetap dianggap hutang yang wajib dilunaskan.

Mengulas lanjut, katanya, seorang bapa tidak boleh mengambil harta anak-anaknya kecuali mereka dalam keadaan yang sangat memerlukan.

“Andai kata seorang ayah itu ada kemampuan untuk membayar (harta anak yang dipinjam), maka dia wajib memulangkannya kembali.

“Kita tak boleh kata ‘eh, ini anak aku, maka halalkan saja’. Ini kerana Islam telah menetapkan, setiap daripada nyawa, harta mahupun maruah diri kita, ia adalah sesuatu yang perlu dihormati sebagai hak setiap individu tersebut,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

ARTIKEL BERKAITAN: "5 Sebab Duit KWSP Cepat Habis" - Pakar

ARTIKEL BERKAITAN: Tak Ada Job, Isteri Terkejut Randy Pangalila Dikejar Pemungut Hutang

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri Malu Bila Tahu Suami Pinjam Duit Abang Untuk Halalkan Dirinya - “Kak Ipar Perli Suami Aku Hutang Kahwin Tak Bayar”

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki Ini Mesej 7 Individu Yang Berhutang Dengannya, Hanya 2 Beri Jawapan - “Dulu Berhutang Kita Terus Loan 100%, Time Bayar…”

ARTIKEL BERKAITAN: Abang Tesla Mahu Bantu Datuk Red Bina Perniagaan & Langsaikan Hutang - “Saya Terpanggil…”


Sekiranya seorang bapa berhutang dengan anak dan tidak melunaskannya, jelas Ustaz Mohd Shamsul Hakim, ayah itu sebenarnya tidak memulangkan hak yang telah dipinjam daripada anaknya (hartanya).

“Ia melainkan jika anak tadi menghalalkan pinjaman yang telah diberikan kepada ayahnya.Perbuatan anak yang menghalalkan hutang ayah kepadanya termasuk dalam anjuran Islam iaitu berbakti kepada ibu dan ayah.

“Ketahuilah bahawa perlakuan tersebut merupakan kebaikan yang besar ganjarannya di sisi Allah SWT.

“Itu dari satu sudut yang lain. Namun begitu, hukum asalnya, jika si anak menuntut (hutang) daripada seorang ayah, maka dia perlu menjelaskan hutang tersebut sepertimana yang dipinta kerana ia sememangnya hak anak untuk menuntutnya kembali.

“Begitupun, berbuat ihsan dengan menghalalkan hutang tersebut adalah sesuatu yang paling baik. Mudah-mudahan ia dikira sebagai amal soleh seorang anak terhadap ayahnya,” katanya.

Meskipun ada sebuah hadis masyhur riwayat Ibnu Majah yang memerihalkan bahawa ‘kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu’, namun ujar beliau, hadis tersebut tidak boleh dijadikan hujah untuk menghalalkan harta yang diambil atau dipinjam dari si anak.

Ia disebabkan kedudukan nas tersebut berstatus lemah (daif).

“Ada dalil yang lebih kuat sebagaimana saya nyatakan bahawa setiap orang itu mempunyai kehormatan dan haknya yang tersendiri, pada nyawa, harta dan maruahnya berbanding dengan hujah yang disandarkan kepada riwayat Ibnu Majah tadi,” katanya.

Sekiranya bapa benar-benar tidak mampu melunaskan hutangnya kepada anaknya itu, ujar Ustaz Mohd Shamsul Hakim, ia menjadi hutang yang ditinggalkan buat waris untuk membantu menyelesaikannya selepas ketiadaannya.

“Mudah-mudahan dia dimaafkan oleh ALLAH SWT atas ketidakupayaannya tersebut.

“Jika anak itu masih di bawah saraannya dan mereka memiliki harta sendiri seperti hasil warisan peninggalan daripada ibunya yang sudah meninggal, ayah boleh menggunakannya sekadar yang perlu untuk tujuan keperluan anak tersebut sekiranya dia daripada kalangan yang tidak berkemampuan (tidak berharta).

“Kalau ada ruang untuk ganti, maka gantilah (semula harta anak yang diambil),” titipnya.

Sumber: Sinar Islam

#Hutang #Hukum #Pinjam duit anak