Demi menjalankan tanggungjawab mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur dilanjutkan sehingga 20 Disember depan, Konsert 4G's yang dijadual berlangsung pada 11 & 12 Dec 2020 di Panggung Sari Istana Budaya ditangguhkan lagi.

Konsert 4G's sepatutnya menggabungkan empat penyanyi lelaki popular iaitu Hazama, Tomok, Akim dan Black.

Namun penganjur, Belbis Sdn Bhd mengambil keputusan untuk menangguhkan konsert tersebut kepada satu tarikh baharu.

"Atas faktor keselamatan dan kesihatan semua pihak termasuk peminat, artis, pemuzik serta pekerja yang terlibat serta telah berbincang dengan pihak berkuasa juga Istana Budaya dan MOTAC serta pelbagai pihak, penganjur mengambil tanggung jawab untuk menangguhkan Konsert 4G’s ini ke suatu tarikh baru yang akan di umumkan dalam masa terdekat sekiranya keadaan COVID 19 ini kembali reda dan terkawal," kata Ketua Pegawai Eksekutif Belbis Sdn Bhd, Afandy Alias melalui kenyataan media.

Afandy juga mengatakan penganjur memohon maaf di atas penangguhan dan berjanji Konsert 4G’s ini akan berlansung segera apabila situasi kembali stabil.

Sebelumnya, empat penyanyi hebat ini merencana untuk mendendangkan sebuah lagu baharu yang dibikin khusus sebagai simbol persahabatan mereka menerusi konsert ini.

Lagu tersebut diberi judul Tukul Dan Paku ciptaan khas oleh komposer, Aubrey Suwito dan S Samad.

Selain menghiburkan peminat dengan lagu milik sendiri, mereka akan membawa kelainan dengan mendendangkan lagu-lagu saduran popular era 70-an hingga 2000.

Arahan pihak berkuasa Malaysia juga melarang sebarang acara di hadiri penonton kepada kawasan atau negeri yang dikenakan PKPB.

Instagram: @tomokofficial