Sering kita mendengar selebriti diganggu makhluk halus ketika sedang bekerja, terutama mereka yang bergelar pelakon.

Tuntutan kerja yang memerlukan mereka berada di lokasi asing untuk masa lama juga merupakan antara faktor kelibat entiti yang tidak ingin dilihat akan muncul.

Hal yang sama turut berlaku terhadap pelakon dan penyanyi Bella Astillah. Menurut isteri kepada bintang All Stars Gegar Vaganza itu, dia pernah melalui pengalaman yang menyeramkan ketika membintangi sebuah naskhah seram dua tahun lalu.

“Masa tu, saya sedang jalani penggambaran bagi sebuah cerita hantu… lokasi sekitar Perak dan ia berlaku pada waktu malam. Ketika kejadian, saya dan make-up artist nampak pocong di sebalik pokok-pokok kelapa sawit.

“Memang berdebar masa nampak kelibat benda tu. Benda tu bergerak sekali sahaja dan dia macam jenguk kita. Bila kita nak kecohkan pada yang lain, benda tu da tiada,” katanya kepada Gempak.

Tambah Bella, pengalaman melihat pocong sekilas lalu itu merupakan pengalaman seram kedua yang pernah dilalui sepanjang hidupnya.

“Paling seram masa saya umur 8 tahun. Untuk yang ini, baru kali kedua. Alhamdulillah, selepas itu saya tidak terima apa-apa gangguan. Semoga dijauhkan,” katanya lagi.

BACA: Dibela Lelaki, Beri Makan Darah Dari Jari Tuan! Ini Fakta Tentang Hantu Polong​