Sejak semalam tular surat kompaun berjumlah RM10,000 terhadap seorang individu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Individu tersebut dikenakan kompaun kerana tidak mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejatera atau buku pendaftaran, semalam.

Perkara tersebut disahkan Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, pada petang Jumaat.

Beliau berkata, tindakan kompaun itu dikenakan dalam pemeriksaan pasukan pematuhan SOP PKPB di sebuah kedai makan di Bukit Jalil.

"Dalam pemeriksaan kira-kira jam 6.55 petang itu, anggota pasukan pematuhan mengeluarkan kompaun ke atas seorang individu atas kesalahan tidak mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera atau buku daftar yang disediakan oleh pekedai.

"Ia seperti mana diperuntukkan mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, mana-mana individu yang melanggar SOP yang ditetapkan boleh dikompaun sebanyak RM10,000," katanya dalam sebuah kenyataan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan dakwaan pihak yang tular mengatakan individu yang dikompaun itu sudah mendaftarkan diri melalui mana-mana saluran iaitu MySejahtera atau buku pendaftaran disediakan pekedai adalah tidak benar.

Terdahulu, tular di media sosial satu gambar menunjukkan surat kompaun pertama mencecah RM10,000 dikeluarkan pihak polis kerana kesalahan melanggar SOP PKPB.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata individu yang dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dikenakan kompaun RM10,000.

Katanya, langkah itu berikutan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai 12.01 tengah malam semalam.

Menurut beliau, nilai kompaun kerana melanggar SOP ditetapkan sehingga RM10,000 namun ia bergantung kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa iaitu Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk menetapkan nilai sebenar kompaun yang dikenakan.

Sumber: BHOnline