Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Polis Sangkal Dakwaan Pelakon Wanita Siasatan Tidak Ikut SOP

Gempak
08/09/2024 05:34 MYT

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyangkal dakwaan dibuat seorang pelakon wanita kononnya pihaknya gagal membuat siasatan terhadap 14 laporan dan menyifatkan ia sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab.

PDRM Sangkal Dakwaan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, menerusi video di TikTok itu dinyatakan JSJK gagal membuat siasatan terhadap 14 laporan yang dibuat oleh pihak terbabit sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, berdasarkan semakan, 14 laporan polis dibuat oleh penama Shakib Abu Bakar Banafee (dipercayai adik kepada individu dalam video terbabit) dan empat penama lain yang berkaitan.

"Kesemua laporan polis terbabit disiasat dengan sewajarnya oleh polis melalui dua kertas siasatan yang dibuka masing-masing mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan sudah selesai dan kes diputuskan NFA (no further action) oleh Jabatan Peguam Negara pada Jun lalu selepas didapati tiada keterangan yang mencukupi untuk menimbulkan elemen kesalahan pecah amanah dalam kes itu.

"Siasatan kes ini malahan dirujuk dan disemak semula oleh pihak peguam cara negara pada Ogos lalu dan keputusan NFA dikekalkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jamin Siasatan Telus

Ramli berkata, pegawai penyiasat juga sudah mengemukakan pemberitahuan kepada pengadu dalam kes ini mengenai keputusan siasatan.

"Bagi kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, siasatan masih dijalankan.

"PDRM memberi jaminan siasatan yang adil dan telus akan dilaksanakan bagi memastikan prinsip undang-undang dan keadilan sentiasa dipelihara.

"Ingin ditegaskan, semua laporan polis yang diterima akan disiasat dengan sewajarnya tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

Beliau berkata, siasatan yang dijalankan akan merangkumi keterangan serta bukti daripada pihak yang berkaitan termasuklah pengadu dan suspek.

"Adalah tidak wajar untuk melemparkan tuduhan negatif kepada polis hanya disebabkan dapatan siasatan tidak berpihak kepada pengadu.

"Justeru, dakwaan yang dilemparkan oleh pemilik akaun tiktok @bettybanafee bahawa pihak polis tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam siasatan adalah tidak benar sama sekali.

"Pihak PDRM menyangkal dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Sumber: Harian Metro

#pelakon #Polis #SOP #Siasatan #Dakwaan #Sangkal #Telus