Polis sedang mengesan pemilik akaun Instagram 'safieyillias94' berhubung dakwaan berkomunikasi secara lucah dan melakukan perbuatan amang seksual terhadap kanak-kanak bawah umur.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata kejadian itu dikatakan berlaku ketika pemilik Instagram berkenaan mengadakan sesi perbualan dan sidang video secara langsung disertai pengguna Instagram bernama 'pipinatasha' dan dua kanak-kanak bawah umur.

"Polis menerima laporan daripada seorang seorang pensyarah universiti pada jam 1.29 tengah hari tadi, yang yang melihat insiden berkenaan melalui pautan Instagram secara langsung milik 'safieyillias94'.

"Pengguna Instagram 'pipinatasha' juga didakwa berpakaian seksi selain bersama 'safieyillias94' menunjukkan cara menghisap vape atau rokok elektronik kepada kanak-kanak terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12(1)Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya dalam kenyataan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

Sumber: Berita Harian