HIBURAN
Politik Bukan Dunia Dafi, Enggan Terlibat Isu Membabitkan Jovian Mandagie - “Saya Ambil Pendekatan Untuk…”
Pelakon dan penyanyi Dafi memilih untuk tidak mengulas lebih lanjut mengenai isu melibatkan bekas abang iparnya iaitu Datuk Jovian Mandagie yang kini menetap di Indonesia.
Tak nak terlibat
Menurut Dafi, dia bukan individu yang layak untuk bercakap mengenai isu tersebut selain enggan tidak mahu terlibat atau mengambil tahu tentang dunia politik.
“Saya tak boleh nak komen sebab tak berapa pasti apa situasi dia dan saya pun jarang berhubung dengan dia. Lagipun saya pun tak berapa tahu fasal perkara itu.
“Sebenarnya saya ambil pendekatan untuk tidak terlibat atau ambil tahu hal-hal politik ini sebab itu bukan dunia saya. Jadi, bukan tempat untuk saya bercakap apa-apa,” kata Dafi kepada Gempak.
Dafi ditemui ketika malam gala filem Martabat Misi Berdarah yang berlangsung di GSC Cinema, Mid Valley Mall, Kuala Lumpur pada Selasa.
Doa yang baik
Bagaimanapun bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim kelima ini hanya mendoakan apa saja urusan atau proses yang dilalui Jovian akan dipermudahkan.
“Saya harap apa saja proses yang dia lalui akan dipermudahkan,” ujarnya lagi.
Beri kerjasama
Hanya berhubung untuk bercakap soal anak saudaranya, Dafi bagaimanapun tidak dapat cakap lebih bagi pihak Jovian.
“Saya rasa dia akan (Jovian akan beri kerjasama dengan SPRM). Tapi saya tak boleh nak cakap bagi pihak dia. Itu kena tanya dia sendiri,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum merakam kenyataan Jovian, susulan siasatan terhadap pemilikan aset membabitkan bekas bapa mentuanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
ARTIKEL BERKAITAN: SPRM Rekod Keterangan Jovian Mandagie Di Jakarta Minggu Depan
ARTIKEL BERKAITAN: Kes Rasuah Ismail Sabri: SPRM Akan Rakam Keterangan Jovian Mandagie Di Indonesia
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sebelum ini mengesahkan pihaknya akan merakam keterangan Jovian dalam masa terdekat di Indonesia.
Ismail Sabri yang juga bapa kepada Dafi sebelum ini beberapa kali hadir di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya berhubung siasatan mengenai kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Ia membabitkan perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Azam dilapor berkata, siasatan dibuat susulan arahan supaya Ismail Sabri membuat pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
Bekas Perdana Menteri itu sudah membuat pengisytiharan harta pada 10 Februari lalu dan SPRM sedang menganalisis sumber perolehan aset berkenaan.
Sekadar info, Jovian yang pernah berkahwin dengan kakak kepada Dafi iaitu Nina Ismail Sabri kembali ke Jakarta selepas mengumumkan penutupan operasi fesyennya pada tahun lalu.
Must-Watch Video