Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Priscilla Abby Tampil Dengan Single Peluru

Asraf Aided
09/07/2019 09:21 MYT
Penyanyi baru, Priscilla Abby tampil dengan single terbarunya yang berjudul Peluru.

Single tersebut merupakan lagu pertama artis berbangsa Cina ini, ia merupakan hasil ciptaan Omar K dan John Jeeves.

Menurut Priscilla, pada mulanya dia berasa sangsi dengan kemampuannya menyanyikan lagu dalam Bahasa Melayu.

"Saya akui pada mulanya berasa sangsi dengan kemampuan diri kerana Bahasa Malaysia bukanlah percakapan harian.

"Saya takut tersalah lenggok atau bunyinya tidak kena. Bagaimanapun, itu bukan alasan untuk tidak mencuba," katanya.

Namun begitu, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini telah mengikuti kelas Bahasa Melayu di bawah kelolaan Altimet.

"Saya bertuah dikelilingi insan yang mempunyai karisma dan kredibiliti dalam bidang masing-masing.

"Walaupun saya gusar dan gementar, mereka sentiasa memberikan galakan, saya berasa selesa dan yakin bahawa saya akan mendapat tempat dalam industri muzik tempatan," tambahnya.

Single Peluru mengetengahkan genre Pop Rock dan mengandungi mesej mengenai perjuangan mengejar impian.

Single ini boleh didengar di semua platform digital seperti Spotify, Joox, Apple Music dan KKBox mulai 5 Julai 2019.
#Priscilla Abby