‘Gelak: Gempak’ merupakan sebuah program realiti terbaharu dari Astro berkonsepkan pertandingan pencarian bakat hasil kerjasama dengan LOL Asia bagi kategori pelawak komedi berdiri atau komediri (‘stand-up comedian’).

Menurut Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh berkata, dia dan Astro Warna teruja apabila berpeluang bekerjasama dengan LOL Asia bagi menjayakan program genre komedi 'stand up'.

"Jika diperhatikan, genre lawak stand-up atau komediri dalam industri lawak mempunyai penonton yang rata- ratanya hadir daripada masyarakat bandar dan bersifat urban.

"Sebagai peneraju kandungan komedi yang berupaya untuk menjangkau kepada segmen penonton yang lebih luas, kami di Astro Warna amat teruja untuk bekerjasama dengan LOL Asia bagi penerbitan pertandingan ‘Gelak: Gempak’ ini agar dapat membawa seni lawak komediri menembusi penonton massa dengan capaian yang lebih meluas, dan membangkitkan bakat baharu sebagai pelapis industri.

"Kejayaan pelawak-pelawak kelahiran Astro yang berjaya menempa nama sebagai pemain utama dalam industri seni tanah air seperti Nabil Ahmad, Jihan Muse, Zizan Razak dan Johan menjadi pemangkin semangat bagi kami untuk meneruskan usaha penghasilan pelbagai sajian kandungan lawak.

"Besar harapan kami agar program ‘Gelak: Gempak’ dapat memupuk minat terhadap genre komedi ‘Stand Up’ supaya menjadi antara kategori lawak yang diraikan ramai, sama seperti komedi sketsa (Maharaja Lawak Mega) dan komedi muzikal (Muzikal Lawak Superstar)," katanya.

Setiap peserta akan diadili berdasarkan pemarkahan 100% oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada nama-nama besar industri komedi termasuklah Dato’ Afdlin Shauki, Sherry Alhadad dan Nabil Ahmad.

Sementara itu, pelawak komediri tersohor, Prakash Daniel hadir sebagai jurulatih jemputan bagi para peserta. Bagi memeriahkan lagi penerbitan program ‘Gelak: Gempak’, Harith Iskander dan Douglas Lim turut diundang sebagai juri serta mentor jemputan.



Kesemua juri bakal menilai para peserta berdasarkan tahap kreativiti, persembahan pentas serta isi kandungan jenaka.

Juara keseluruhan bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM25,000 sumbangan Astro, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing pula akan menerima RM7,000 dan RM3,000. Sebuah trofi juga akan diberikan kepada ketiga-tiga pemenang.

Peserta program ‘Gelak: Gempak’ :

• Juliana Heng, 31
• Kanmani, 43
• Shashic Iewan, 30
• Nizam Jentik-Jentik, 40
• Phoon Chi Ho, 37
• JD, 42
• Sofwan Roos, 28
• Farid Azmeir, 27
• Rizal Van Geyzel, 28
• Ayim Razak, 25
• Young Arin, 27
• Bob Usop, 31
• Mad Sabah, 33
• Abe Latte, 36
• Garam, 37
• Abdullah Mazlan, 31.

Program 10 episod ini bakal bersiaran setiap Jumaat, jam 9 malam mulai 5 Februari 2021 di saluran Astro
Warna HD (107) dan Astro Warna (127).

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, program ini juga boleh distrim secara percuma untuk pelanggan Astro melalui aplikasi Astro GO dan on demand.