Kumpulan Kpop, SEVENTEEN terpaksa menangguh promosi kemunculan semula mereka apabila terdapat dua pekerja terlibat dalam pembikinan mini album disahkan positif COVID-19.

Perkara itu diumum Pledis Entertainment yang memaklumkan maklumat terperinci tentang perkara berkenaan.

Menurut pihak mereka, aktiviti promosi mini album kumpulan tersebut yang berjudul Your Choice kini dihentikan sementara waktu.

Ia adalah susulan keputusan ujian calitan yang diadakan terhadap pekerja terlibat minggu lalu di mana seorang pekerja disahkan positif COVID-19 pada 18 Jun, diikuti seorang lagi pada keesokan harinya.

Setelah mengetahui keputusan itu, semua ahli SEVENTEEN dan pekerja-pekerja terlibat diarahkan menjalani kuarantin kendiri oleh pihak berkuasa.

"SEVENTEEN akan menangguhkan aktiviti-aktiviti promosi termasuk acara secara online yang telah dijadualkan.

"Segala maklumat tentang tarikh baru akan dimaklumkan selepas mereka habis tempoh kuarantin kendiri," tulis kenyataan tersebut.

Meskipun menjalani kuarantin kendiri, semua anggota SEVENTEEN masih belum disahkan positif wabak berkenaan setakat ini.

Sumber & Kredit Foto: Soompi