Penghibur legenda Datuk Ramli Sarip mengakui pandemik Covid-19 telah menyebabkan proses pembikinan album Rasa terganggu.

Bagaimanapun kata penyanyi yang dikenali sebagai Papa Rock itu, pandemik juga memberi beliau ilham untuk berkarya sehingga berjaya menyiapkan tujuh buah lagu sepanjang tempoh kuarantin.

“Ketika merancang untuk meneruskan pembikinan album ini, pandemik Covid-19 telah mula menyerang dunia. Sedikit sebanyak memang menjejaskan proses nak siapkan Rasa.

“Masa itu saya dalam perjalanan dari Bandung menuju ke Kuala Lumpur tetapi terpaksa pulang ke Singapura apabila situasi wabak menjadi lebih teruk.

“Setibanya saya di Singapura, saya terpaksa menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari dan saya akui ia adalah tempoh yang benar-benar menyukarkan saya kerana saya tidak dapat bergerak ke mana-mana dan hanya terperap di rumah.

“Tetapi, dari satu sisi, ia memberi kesempatan untuk saya mendapatkan lebih banyak ilham untuk menyiapkan album ini dan merakamkan tujuh buah lagi lagu dengan menggunakan khidmat pemuzik-pemuzik berkaliber di Singapura dan Malaysia,” katanya.

Pembikinan yang mengambil masa dan dihasilkan dengan penuh teliti dan kesabaran di Singapura memuatkan lagu Kekasihku, Ayah dan Ibu, Ronggeng Rakyat, Cinta Di Sebalik Musim, Nyanyian Sejagat, Irama Kasih dan Orang Tua Bersidi Sakti.

Ramli mengakui menyiapkan album ini dalam waktu pandemik adalah suatu cabaran kerana melahirkan karya pada saat industri muzik dan hiburan tertekan dengan ketiadaan live show membuatkan dirinya gundah.

Pada waktu yang sama, beliau perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan mereka mematuhi segala SOP yang ditetapkan.

Momen paling menarik apabila Ramli dapat berkumpul bersama teman-teman pemuzik untuk menghasilkan lagu.

“Kita berkongsi idea, pengalaman dan rasa yang sama. Ia mencetuskan magis yang luar biasa. Bila berkarya kita lupa tentang hal-hal yang lain.

“Kita kembali bersemangat untuk membuat yang terbaik dan ilham-ilham itu terus keluar mengalir dan kita membiarkan diri kita berada pada puncak waktu itu.

“Malah, semasa di studio rakaman, ada suatu pengalaman unik yang saya melalui saat melontarkan suara. Perasaan ketika menyanyi sangat tenang merindui damai yang kita kecapi sebelum pandemik berlaku. Ianya sangat seronok dan seolah-olah ada dorongan semangat baru yang kuat untuk terus berkarya.

“Kerana itulah Rasa kali ini mempunyai rasa dan jiwa yang berbeza. Harapan saya, album ini akan dapat membakar semangat nusantara dan sejagat untuk terus berkarya dalam apa juga suasana yang menghalang.

“Citarasa baru ini memberi sinar dan warna baharu dalam dunia seni. Cintailah alam dan berkasih sayanglah sesama ummah. Khusus untuk pencinta dan pejuang seni agar kita terus melahirkan karya baru,” katanya.

Selain tujuh lagu di Singapura, Rasa turut memuatkan tiga lagu lagi iaitu Srikandi Zaman, Sentosa di Kubah Hayat dan Surat Cinta Kuala Lumpur yang dirakam di Malaysia.

Uniknya album ini apabila penerbitannya dimulakan di Kuala Lumpur tetapi disiapkan sepenuhnya di Singapura apabila pandemik Covid-19 mula menyerang dunia pada tahun 2020.