Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Prosiding Pengesahan Cerai Hari Ini, Puteri Sarah; "Doakan, Harapnya Semoga Kita Berpisah"

Syafiqah Jalal
14/06/2023 02:25 MYT
"Insya-Allah boleh selesai semua, doakan harapnya semoga kita berpisah," kata ringkas Puteri Sarah Liyana ketika tiba di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk prosiding perceraian dengan suaminya, Syamsul Yusof pagi tadi.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakilinya Datuk Akberdin Abd Kader memberitahu perbicaraan yang berlangsung hari ini dijangka menjadi penutup untuk kes perceraian pasangan tersebut.

"Hari ini adalah perbicaraan untuk pengesahan dua lafaz cerai yang didakwa Puteri Sarah sebelum ini dan juga status permohonan cerai baru.

"Insya-Allah besar kemungkinan kita akan selesaikan semua sekali hari ini," ujarnya.

Jelasnya, pihak mahkamah perlu mendengar terlebih dahulu mengenai dakwaan dua lafaz cerai terdahulu sebelum meneruskan kepada permohonan yang baru.

"Namun, sebelum pergi kepada permohonan lafaz cerai yang baru, kita kena selesaikan pengesahan dua lafaz cerai yang didakwa sebelum ini.

"Selagi dua benda itu belum selesai, mahkamah tidak boleh teruskan ke lafaz cerai baru sebab nak tahu sudah berapa kali perkara itu dilakukan," katanya lagi.



Tambahnya, pengesahan lafaz cerai juga bergantung di tangan suami iaitu Syamsul yang juga pengarah Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan dan pihak mahkamah perlu mendengar hujah mengenainya.

"Ada beberapa persetujuan yang sudah dicapai dan akan usulkan kepada mahkamah.

"Jadi, semuanya bergantung di tangan suami jika dia nak setuju atau tidak. Kalau suami kata tak pernah berlaku, hakim kena dengar perkara itu," ujarnya lagi.

Terdahulu, hakim Syarie Akmalluddin Ilyas memerintahkan Puteri Sarah selaku plaintif untuk memfailkan dakwaan lafaz cerai yang sudah dibuat sebanyak dua kali oleh Syamsul.

Jika mahkamah mensabit perceraian berlaku sebanyak dua kali, ini bemakna permohonan cerai Puteri Sarah merupakan kali ketiga.

Walau bagaimanapun, peguam syarie Azmi Mohd. Rais yang mewakili Syamsul menafikan dakwaan berkenaan dan tidak mengetahui dapatan laporan JKP berkenaan memandangkan ia dibuat secara berasingan.

Sebelum ini, pada 25 Mei lalu, Jawatankuasa Pendamai (JKP) memaklumkan ikatan perkahwinan Sarah dan Syamsul Yusof tidak dapat diselamatkan kerana berlaku shiqaq iaitu perbalahan berpanjangan.

Puteri Sarah memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya pada Januari tahun ini di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur selepas krisis rumah tangganya sejak empat tahun lalu.

Selain itu, dia juga enggan dimadukan selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3.
#pelakon #Viral #cerai #Syamsul Yusof #Mahkamah #Puteri Sarah Liyana #Prosiding
;