TEMPATAN
Proton X70 Edisi Merdeka - Hanya 62 unit ditawarkan!
Buat kali pertama, PROTON melancarkan SUV keluaran terhad menerusi model Proton X70 Edisi Merdeka (EM) yang hanya ditawarkan sebanyak 62 unit.
Jumlah yang ditawarkan itu melambangkan ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang memasuki ke-62 tahun dan model itu didatangkan secara ekslusif pada Proton X70 varian premium.

Ia dijual pada harga RM126,100 dengan dua warna pilihan iaitu putih (snow white) atau merah (flame red). Secara mekanikal, Proton X70 EM itu mempunyai ciri-ciri yang sama pada varian Premium SUV sedia ada.
Perbezaan yang dilakukan adalah pada rekaan luar dan beberapa tambahan pada bahagian dalam. Pada bahagian luar, bumbung dan bahagian A-pillar diwarnakan dengan cat yang dikenali sebagai Quartz Black.

Visor pintu turut dipasang di sekeliling kereta bersama plat pelindung (scuff plate) di bampar belakang dan bagi melengkapkan sentuhan akhir, lambang atau emblem ‘Merdeka Edition’ telah diletakkan di bahagian belakang.
Di bahagian dalam pula, PROTON turut menggantikan alas kaki baharu, pelapik but belakang dan lambang Edisi Merdeka bernombor khas untuk menjadikan setiap unit model ini unik.

Kerusi dengan kulit Nappa dan bumbung kaca serta Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang terdapat pada varian Premium sedia ada turut dilengkapkan pada model EM ini.
Must-Watch Video