PRU14: Siti Nurhaliza, Nora Danish & Sufian Suhaimi Mengundi Di Mana?

Kamaruddin Razal
Mei 8, 2018 11:30 MYT
Tinggal beberapa jam sahaja lagi rakyat Malaysia akan menggunakan kuasa mereka untuk menentukan kerajaan yang bakal menjadi peneraju negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
Golongan artis antara yang turut tidak mahu ketinggalan menunaikan tanggungjawab mereka buat tanah air tercinta.
Berikut beberapa selebriti yang sempat dihubungi untuk berkongsi di mana mereka akan membuang undi, di samping harapan mereka seusai Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) ini.
Datuk Seri Siti Nurhaliza
Biarpun baru sahaja tamat tempoh berpantang, penyanyi nombor satu negara ini tidak mahu melepaskan peluang mengundi. Seperti lima tahun lalu, Siti akan mengundi di Cheras.
Nora Danish
Pelakon comel kelahiran Kuala Terengganu ini akan membuang undi di Ampang sebelum pulang ke Perak menemani suaminya, Nedim Nazri yang akan membuang undi di Padang Rengas, Perak.
Hans Isaac
Aktor berusia 46 tahun ini teruja untuk mengundi kali kedua selepas kali pertama melakukannya pada PRU13 pada 2013. Hans akan mengundi di Ampang.
Norman, Edry dan Yusry Abdul Halim serta Lisa Surihani
Yusry dan Edry, bersama Lisa, akan membuang undi di Sungai Ramal, Kajang. Sedikit berbeza dengan Norman yang akan mengundi di Putrajaya.
Cat Farish
Rapper dan pelakon ini mengakui dia bukan pengikut tegar politik, namun tetap mengambil tahu situasi semasa negara dan berharap yang terbaik untuk pilihan raya kali ini. Cat akan mengundi di Bangi.
Luqman Hafidz
Akan mengundi buat kali kedua, "Ali Ola Bola" berharap apa sahaja keputusan PRU kali ini akan membawa kemajuan yang berterusan untuk negara. Luqman akan mengundi di Ampang.
Zarul Husin
Penyanyi yang kini mula dikenali sebagai pelakon ini akan mengundi di Shah Alam. Bertahun terikat dengan tugas sebagai pramugara, inilah kali pertama Zarul berpeluang untuk mengundi.
Sufian Suhaimi
Penyanyi yang popular dengan lagu "Di Matamu" ini sudah tidak sabar untuk membuang undi di kampung halamannya di Mersing, Johor.
Sumber: Astro Awani
Susunan: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram
#pelakon #Penyanyi #Pelakon #Penyanyi #PRU14