Pengarah dan pelakon, Dr Ahmad Idham Mohd Nazri berjanji akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik kepada pengundi Port Dickson.

Tidak berjanji kosong, Idham berkata dia akan terus menyelami setiap permasalahan yang ada.

“Alhamdulillah hari ini merupakan hari bersejarah di dalam hidup saya apabila telah di umumkan sebagai calon no. 4 parlimen P132 Port Dickson di Kompleks Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson ketika penamaan calon sebentar tadi.

“Sebelum ini saya hanya berfikir soal kerja membantu dan mempermudahkan masyarakat melalui pertubuhan tanpa menyangka akan diangkat sebagai calon parlimen.

“Saya melihat amanah ini diberikan kerana penerimaan masyarakat sendiri atas nilaian mereka terhadap gerak kerja yang telah saya lakukan sebelum ini.

“Saya tidak akan berganjak daripada paksi perjuangan saya. Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini dengan menjadikan Port Dickson sebagai bandar pelancongan popular.

“Dengan menambahbaik segala infrastruktur dan fasiliti serta memperbanyakkan aktiviti di sini agar dapat meningkatkan ekonomi tempatan melalui industri pelancongan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Idham juga turut menyatakan keseriusannya untuk menjalankan tanggungjawab dalam bidang berkenaan.

“Perjuangan menjadikan Port Dickson sebagai Hab Pendidikan Khas serta bandar pelancongan yang mesra OKU juga menjadi antara nadi perjuangan saya.

“Selain itu, saya telah mendengar dan dalam proses mendapatkan maklumat penuh berkenaan isu veteran askar yang berpencen mahupun yang tidak berpencen.

“Selaku Naib Pengerusi Persatuan Suara Patrioktik Rakyat Malaysia (PSPRM) Negeri Sembilan, saya akan terus berperanan agar permasalahan yang ada dalam kalangan veteran askar dapat kita selesaikan dengan mengikut lunas dasar dan akta yang telah diperuntukkan.

“Sekiranya perlu untuk digubal dasar dan akta yang baru maka saya akan menjadi penggerak agar permasalahan yang ada dapat kita atasi sebaiknya.

“Sebagai seorang anak askar, saya sangat memahami permasalahan yang sering menjadi polemik dalam kalangan veteran.

“Pencadang dan penyokong saya sebentar tadi juga merupakan bekas anggota polis dan bekas anggoa tentera yang sering berkongsi dapatan secara organik terhadap permasalahan yang ada.

“Akhir kata, selagi hayat dikandung badan maka selagi itulah saya wajib melaksanakan amanah yang telah diberikan.

“Semoga Allah memberikan kekuatan kepada saya untuk terus berbakti dan berkhidmat kepada rakyat khususnya masyarakat di Port Dickson,” katanya.

Terdahulu, Idham merupakan calon P132 Parlimen Port Dickson dari Gerakan Tanah Air (GTA) di bawah logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).