"Selagi tamak menguasai diri maka terjadilah petaka," demikian petikan kata-kata daripada filem terbaharu Petaka yang sudah mula menemui penonton di saluran Astro First.

Sepertimana judulnya Petaka, begitulah jalan ceritanya yang membawa pengertian daripada maksud itu. Musibah akibat daripada sikap tamak haloba diri sendiri.

Penulis terpanggil untuk berkongsi elemen menarik yang diangkat menerusi filem arahan Azahari Zain ini.

1. Filem ini mengangkat isu berkaitan keldai dadah, individu yang tidak menyedari dirinya dipergunakan untuk menyeludup najis dadah.

Pemain watak utamanya sebagai Sham (lakonan Azman Ahmad) memberikan keyakinan kepada penonton dengan peranan tersebut.



2. Pengarahnya bijak mempertaruhkan elemen melodrama dan air mata untuk sub plot Petaka. Wan Maimunah tidak perlu disangkal lagi kredibilitinya sebagai seorang ibu yang sedang menderita sakit dengan kehidupan yang susah.



Ada babak dan skrip yang membuatkan penulis sebak. Ia sangat dekat dengan masyarakat dan senang dihayati.

3. Sinematografi Petaka cantik. Berlatar belakangkan suasana kampung, sawah padi dan kawasan jeti nelayan, ia berjaya menenangkan biarpun mengetengahkan isu yang berat.

Panorama kampung dan penduduk yang bertutur dialek negeri utara Malaysia lagi memberikan nilai tambah estetik filem Petaka.

4. PU Azman pertama kali disandingkan dengan karakter samseng, sebagai pemilik gudang perabot yang bersubahat menjalankan kegiatan haram menyeludup dadah.

Berkesan lakonannya, tidak kaku dan terikat dengan latar belakangnya sebagai pendakwah dan lari daripada kebiasaan. Penonton akan teruja dengan twist ini.



5. Daripada sudut teknikal, filem ini tidak banyak kritikannya dan penulis yakin Azahari telah melaksanakan tugas dengan baik sebagai pengarah yang sudah banyak menghasilkan filem sebelum ini.

Suka dengan colour grading dan pilihan lagu Sakit (Yonniboii dan Zynakal) yang melatari hampir kebanyakan babak dalam filem Petaka.

Semestinya, Petaka antara must watch filem pada tahun ini!

*** SINOPSIS ***

Petaka mengisahkan kemiskinan hidup keluarga Sham selepas kematian ayahnya. Ibunya menderita sakit kaki, manakala adiknya, Syikin tidak mampu ke sekolah kerana kekangan kewangan.

Sham bekerja keras melakukan kerja-kerja kampung bukan sahaja untuk menyara keluarganya malah demi memenuhi hasrat hati bagi menebus balik rumah pusaka yang sebelum ini terpaksa dijual kerana kemiskinan.

Kedaifan keluarganya berubah secara drastik apabila Sham menerima tawaran bekerja sebagai pemandu lori barang di kedai perabot Haziq.

Tugasnya hanya mengambil dan menghantar barangan perabot dari sempadan Thailand ke kedai Haziq di Alor Setar. Haziq bekerja di bawah Datuk Jamil.

Upah yang diterimanya cukup lumayan buat seorang pemandu lori. Walaupun terdetik di hatinya tentang upah itu, namun Sham teruskan juga pekerjaan tersebut selepas percaya kepada Haziq. Sehinggalah Sham dapat menebus semula rumah pusaka arwah ayahnya.

Pekerja Haziq, Ima menasihati Sham supaya berhenti daripada pekerjaan itu tanpa mengesyaki apa-apa. Bagaimanapun upah yang diterimanya semakin banyak dan membuatkan Sham mula tertanya-tanya.

Pesan Haziq supaya dia tidak banyak bertanya dan tengok barang yang dibawanya itu tidak diendahkan. Sham terkejut kerana baru sedar selama ini dia menjadi tukang hantar barang terlarang (dadah). Sham tidak tahu yang dia adalah keldai dadah kepada Datuk Jamil.

Petaka hidup Sham semakin hebat apabila dia gagal menghantar barang Datuk Jamil serta menghilangkannya. Bukan sahaja Sham, konco-konco Datuk Jamil yang diketuai oleh Zamri turut membelasah ibu Sham dan Syikin. Ibu mereka mati dibunuh.

Zamri semakin liar apabila meletupkan Sham di dalam sebuah kereta. Apakah nasib Sham dan Syikin? Semuanya dalam Petaka, sebuah kisah kekeluargaan, kemasyarakatan, kedaifan dan kenaifan.

Filem berdurasi lebih 90 minit yang sedang disiarkan di Astro First ini membariskan pelakon berkarakter seperti Azman Ahmad, Jaja Iliyes, Nabila Huda, Wan Maimunah, Danish Danieal @ Coki, PU Azman dan Zali Shuhali.

Tonton Petaka di Astro First (480) bermula 4 Februari dengan harga RM15 untuk siaran selama 48 jam secara berulang-ulang.

Petaka disokong oleh Agensi Antidadah Kebangsaan sempena sambutan hari Kempen Antidadah Kebangsaan ke-38 pada 19hb Februari 2021.