Pendakwah bebas Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail, 26, mengakui ada mendapat tawaran sekali gus perbincangan untuk menjalankan misi bantuan ke Gaza bersama isterinya, Neelofa, penyanyi, Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan Ustaz Ebit Lew pada Jun lalu.

Menurut Haris atau lebih mesra disapa PU Riz berkata, tawaran itu daripada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan sudah menjalankan perbincangan secara dalam talian.

"Memang betul saya bersama isteri dan beberapa selebriti lain termasuk Ustaz Ebit Lew mendapat tawaran untuk ke Gaza.

"Kami juga dijangka akan ke sana pada Jun lalu. Namun, saya dimaklumkan projek itu tidak dapat diteruskan atas beberapa sebab.

"Kemudian, saya dapat tahu Ustaz Ebit Lew bersama pasukannya dapat ke sana bagi menjayakan misi mereka. Itu adalah rezeki mereka," katanya.

Terdahulu, nama PU Riz, Neelofa, Heliza dan Hazwani disebut penyanyi rap, Caprice dalam hantaran di Instagram Story yang mendakwa mereka sepatutnya ke Gaza bersama Ebit Lew.

Pendedahan itu sekali gus menimbulkan pelbagai tanggapan selain ada yang mendakwa Ebit Lew mengambil kertas cadangan berkenaan bagi tujuan menjayakan misi sendiri.

"Cukup untuk saya jelaskan yang mana memang saya bersama yang lain termasuk Ebit Lew dijemput untuk ke sana. Apa yang berlaku selepas itu, saya tidak ada pengetahuan apa-apa mengenainya.

"Saya harap perkara ini jelas dan orang ramai berhenti untuk membuat spekulasi. Saya berdoa semoga segala kebaikan yang kita kerjakan mendapat keredaan Allah," katanya lagi.


Sumber: Harian Metro