Memulakan perjalanan dalam bidang seni menerusi program realiti dakwah Pencetus Ummah, Riz Ismail mula menjinakkan diri dalam lakonan.

Mula menimba ilmu sebagai pelakon, Riz tidak meletakkan had watak yang dijayakan olehnya.

"Saya tak sekadar bawa watak orang alim atau ustaz sahaja. Seperti contoh, dalam drama bersiri Lelaki Kiriman Tuhan, saya membawakan watak sebagai bekas kekasih kepada aktres Mira Filzah.

"Namun begitu, saya letakkan had dengan pelakon wanita. Saya tak akan jayakan watak bersentuhan, tidak akan buat aksi ranjang dan menjaga jarak dengan pelakon wanita.

"Alhamdulillah, pengarah yang bekerjasama dengan saya faham dengan perkara ini dan tidak memberikan aksi sedemikian," kata Riz.

BACA: PU Riz Sambung Belajar Kerana Ikut Nasihat.....

Riz ditemui di majlis tayangan akhir drama bersiri Selafaz Cinta di Wangsa Maju pada Isnin.

Merehatkan diri dalam bidang lakonan untuk menyambung pengajian ijazah sarjana muda undang-undang, Riz mempunyai beberapa produk untuk tahun ini.

"Biarpun saya sambung belajar, peminat akan dapat menyaksikan saya dalam beberapa naskah lakonan di kaca televisyen.

"Ada tiga telefilem dan satu filem yang sudah selesai menjalanu penggambaran dan ia bakal ditayangkan tahun ini.

"Saya juga bersedia untuk berlakon lagi sekiranya pihak produksi dapat mengikuti jadual saya yang tidak padat pada hujung minggu," katanya lagi.