Identiti wanita yang mayatnya ditemukan dalam keadaan disimen di dalam sebuah kolah di sebuah rumah di Kampung Pendamar, Klang, Ahad lepas masih belum dapat dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, bedah siasat di Hospital Shah Alam mendapati punca kematian wanita yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun itu ialah tekanan (compression) pada bahagian leher.

BERITA TRENDING: Macam Dalam Filem… Tuan Rumah Terkejut Ada Mayat Wanita Disimen Dalam Bilik Mandi

"Pakar forensik tidak dapat memastikan waktu kematian wanita itu kerana proses pereputan menjadi lambat bagi mayat yang berada dalam persekitaran seperti mana yang ditemukan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, polis telah merakam percakapan 10 saksi, serta menahan reman seorang lelaki warga asing berumur 53 tahun sehingga 11 Dis ini bagi membantu siasatan, dan sedang berusaha mengesan dua lelaki, Ranjit Singh dan Mandeep Singh, yang pernah menyewa rumah berkenaan.

Hoong Fong berkata, polis telah memohon bantuan daripada pejabat kedutaan serta polis antarabangsa (interpol) bagi mengesan dua lelaki berkenaan, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dengan menelefon 03-33762222 atau hubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian