Siapa sangka, firasat ragu-ragu pemilik sebuah rumah sewa yang mendapati kolah di bilik mandi disimen tanpa pengetahuan telah mencetuskan satu kegemparan apabila mayat seorang wanita dijumpai tertanam di bawah lantai bilik air tersebut.

Menerusi laporan media, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penemuan mayat berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, polis menerima laporan daripada seorang lelaki dipercayai pemilik rumah yang mengesyaki sesuatu selepas kolah air di rumahnya disimen tanpa pengetahuan.

"Pengadu memaklumkan dua penyewa lelaki keluar daripada rumah berkenaan pada 10 Oktober lalu. Pemilik rumah pergi ke rumah itu untuk memeriksa serta membersihkan kediaman sebelum disewakan kepada orang lain. Namun dia mendapati kolam air dalam bilik air sudah disimen.

"Selepas tidak berpuas hati dengan jawapan penyewa berkenaan, pengadu membuat laporan polis," katanya kepada Harian Metro.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengambil masa lebih dua jam untuk memecahkan kolah sebelum menemui mayat wanita bersimen di sebuah rumah di Pandamaran hari ini.

JBPM Selangor dalam kenyataan memaklumkan pihaknya mendapat panggilan pada 11.39 malam untuk mengeluarkan mayat yang berada di dalam kolah bilik mandi.

"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang melakukan kerja-kerja pemecahan simen menggunakan peralatan 'paratech tool' dan mesin hacker.

"Ketika kerja-kerja pemecahan simen dilakukan sekitar 70 peratus, didapati satu mayat wanita dewasa berada dalam kolah berkenaan.

"Mayat itu kemudian dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis," katanya.

Sumber: Harian Metro, Sinar Harian