Influencer atau pempengaruh Khairulaming mengatakan negara memerlukan lebih ramai influencer media sosial dalam pelbagai bidang yang dapat memberi nilai tambah kepada masyarakat.

Kharulaming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman juga mengatakan lebih banyak influencer dalam bidang seperti pendidikan, inovasi dan teknologi diperlukan bagi membentuk generasi muda negara yang berkualiti.

Usahawan Digital ini juga mengatakan setiap individu boleh membina empayar 'pengaruh' mereka masing masing, namun bagaimana pengaruh yang disampaikan dapat memberi kesan baik kepada peminat.

"Orang sering salah faham, tidak perlu pendidikan untuk jadi famous (terkenal), memang betul sebab apa-apa awak buat yang orang suka atau tak, boleh jadi famous, tapi apa yang berbeza di sini ialah, macam mana value (nilai) yang awak bagi pada peminat awak.

"Kita perlukan lebih banyak influencer dalam pelbagai bidang bukan setakat hiburan tetapi juga pendidikan, dan yang boleh jadi peneraju dunia macam perniagaan yang melibatkan inovasi. Kita boleh perlahan-lahan tambah baik generasi influencer di Malaysia," katanya kepada media selepas menjadi tetamu program SKILLBOX@Kelab Malaysiaku Siri 2/2021 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini hari ini.

Khairul Amin, yang mempunyai 6.7 juta pengikut di pelbagai platform di media sosial, berkata pihak berwajib seperti kerajaan juga boleh menyediakan garis panduan kepada mereka yang beminat untuk menjadikan bidang influncer ini sebagai kerjaya.

Influencer ni bukan kerjaya yang formal, seperti kejuruteraan ada kursusnya, tetapi influencer ini benda yang dibina sendiri.

"Kita dah berada di zaman yang tak boleh nak halang budak-budak daripada media sosial kerana ia sudah sebati dalam diri mereka, jadi daripada kita halang dan beri tekanan, lebih baik kita tunjuk ajar macam mana mereka boleh berjaya dalam bidang ni.

Dalam pada itu, Khairul Amin berkata para pelajar digalakkan untuk meneroka kemahiran-kemahiran yang tidak dipelajari dalam kelas formal seperti coding, editing, story telling dan sebagainya bagi mempersiapkan diri dalam suasana persaingan yang sengit ketika ini.

"Yang saya tekankan pada adik-adik yang di sekolah ini, daripada awal fokus pada pelajaran tapi pada masa sama pelajari kemahiran untuk membuat duit suatu hari nanti, sebagai contoh buat coding untuk software, ini kemahiran yang sangat berharga," katanya.

Sumber & Foto: BERNAMA