Penyanyi Kaka Azraff akui tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku antara dirinya dengan aktres Che Puan Juliana Evans.

Namun begitu bersempena bulan Ramadan yang mulia, Kaka memohon maaf andai kata dia ada menyinggung mana-mana pihak.

"Ramai orang bertanya kepada saya mengenai perkara ini tetapi sebenarnya saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku.

"Saya tidak boleh komen banyak sebab ini membabitkan dua pihak.

"Jika saya bercakap dan keluarkan kenyataan, nanti orang lain akan terasa.

"Cuma apa yang boleh saya cakap sempena bulan baik dan hari yang baik, juga sekarang ini saya membawa berita baik (mengandung), saya secara peribadi meminta maaf jika ada menyinggung mana-mana pihak yang terasa," katanya kepada Gempak.

Kaka ditemui ketika majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim anjuran Warner Music di Hotel Royal Kuala Lumpur.

Tambah Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 30, berkata ia normal jika mempunyai masalah dalam persahabatan.

"Saya rasa ini normal. Orang lain pun ada masalah persahabatan tapi saya rasa ia tak perlu dihebah atau dicanang.

"Saya menahan diri untuk tidak membuka cerita sebab ia tidak bagus untuk dikongsikan.

"Apa yang pasti saya memaafkan. Itu saja saya boleh cakap.

"Saya mahu ia diselesaikan dengan baik kerana hati ini tidak mahu berbalah," katanya lagi.

Terdahulu, ketiadaan Juliana atau lebih mesra disapa Jue di majlis pernikahan dan resepsi Kaka yang berlangsung pada hujung tahun lalu mengundang tanda tanya status hubungan mereka.

Tidak cukup dengan itu, Jue dan Kaka dilihat meluahkan perasaan menerusi laman sosial masing-masing.

Biarpun tidak menyebut sebarang nama, baik Jue atau Kaka bercakap mengenai topik 'sahabat yang membawa masalah' dan perkara itu bermula di laman Twitter.

Menerusi ruangan Instagram Stories milik Jue, pelakon itu seakan meluahkan perasaan marah terhadap seseorang.

Biarpun tak menyebut nama, luahan itu seakan ditujukan untuk Kaka, melihatkan kepada foto yang dimuat naik oleh Jue.

BACA: "What Kind Of Person Rampas Laki Kawan Artis Dia Sendiri?" - Hubungan Persahabatan Juliana Evans Dengan Kaka Azraff Bermasalah?