Pelakon jelita Maya Karin mendedahkan dia pernah mengikuti kelas tarian tradisional Indonesia sejak berusia tujuh tahun.

Kata Maya, disebabkan itu juga dia mampu menari dengan baik dalam filem yang mempopularkan namanya, Pontianak Harum Sundal Malam.

"Mak saya hantar kelas tarian tradisional sejak umur tujuh tahun. Tarian Indonesia.

"Tari Piring, Tari Bali, Tari Kepiting, Tari Topeng Sunda. Semua saya perform di pentas," kongsi Maya menerusi akaun Twitternya semalam.

Pendedahan Maya itu sempena menjawab pertanyaan peminatnya yang teruja menyaksikan persembahan tariannya dalam filem arahan Shuhaimi Baba itu.

"Tengah tengok Pontianak Harum Sundal Malam ni. Berapa lama Maya Karin berlatih menari macam tu, punyalah lembut jari," tulis pemilik akaun @ArfanRayyan.



Menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam yang diterbitkan pada tahun 2003, Maya berjaya menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi Festival Filem Asia Pasifik ke-49 pada 2004.

Malah filem sama turut melayakkan Maya tercalon untuk kategori pelakon wanita terbaik Festival Filem Malaysia.

Pontianak Harum Sundal Malam turut dibintangi Azri Iskandar, Datuk Rosyam Nor, Ida Nerina dan Nanu Baharuddin.