Nampaknya, pelakon cantik manis, Puteri Aishah bakal melangkah ke fasa seterusnya dalam hidup tidak lama lagi. Dramatis yang popular dengan siri Rahimah Tanpa Rahim itu berkata, dia bakal manamatkan zaman solonya dengan seorang ahli perniagaan pada bulan ini.

Begitupun, menurut pemilik nama lengkap Puteri Aishah Sulaiman, 27, itu enggan membutirkan dengan lebih lanjut mengenai majlis pernikahannya nanti.

“Mengikut perancangan awal, kami sepatutnya bernikah lebih awal. Tetapi, disebabkan keadaan semasa, kami bersetuju untuk mendirikan rumah tangga pada bulan ini.

“Jika urusan kami dipermudahkan, insya-Allah kami akan meneruskan dengan apa yang telah dirancang,” katanya.

Menurut Puteri Aishah, persiapan untuk majlis perkahwinannya telah siap hampir 80 peratus.

“Melihat kembali pada persiapan majlis perkahwinan, sudah hampir 80 peratus siap. Kalau boleh, kami mahu perkahwinan disaksikan oleh keluarga kedua belah pihak memandangkan masih ada majlis perkahwinan yang dilangsungkan secara maya.

“Selain itu, saya juga tidak berniat untuk merahsiakan tarikh perkahwinan dan identiti bakal suami. Siapa yang tahu, tahulah. Tetapi selebihnya, saya akan kongsikan pada hari pernikahan nanti,” kongsinya lagi.

Mengenai bakal suami, Aishah berkata, dia mengenali belahan jiwanya itu sekitar dua tahun lalu dan mengakui berasa teruja untuk melangkah ke fasa seterusnya.

“Sejujurnya, saya berasa sangat bersyukur kerana bakal suami menyokong karier seni selepas bernikah. Dalam masa yang sama, kami juga masing-masing kuat bekerja dan kami rasa kami tidak mempunyai masalah untuk hal itu.

“Selain itu, bakal suami juga selalu memberikan galakan terhadap apa yang saya buat dan tidak pernah melarang saya untuk terus berkarya dalam dunia lakonan.

“Saya berharap peminat dapat mendoakan majlis perkahwinan saya nanti berjalan dengan lancar. Insya-Allah, kami akan menjalankan acara perkahwinan tersebut mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam serba sederhana,” tutup Puteri Aishah.

Dilahirkan di Port Dickson, Negeri Sembilan, Puteri Aishah mula mengorak langkah dalam bidang lakonan selepas menyertai program Dewi Remaja 2014/15 beberapa tahun lalu.

Kredit foto: Instagram Puteri Aishah

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!